Tekanan terhadap perdana menteri semakin meningkat - dengan pemimpin-pemimpin Umno Kedah pula mengkritik kepemimpinan beliau hari ini.
Dalam satu pertemuan tertutup 15 bahagian dengan timbalannya Datuk Seri Najib Razak, mereka menyalahkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas ketewasan teruk parti itu, termasuk kehilangan Kedah kepada Pakatan Rakyat, dalam pilihanraya umum 8 Mac.
Difahamkan, ada beberapa pemimpin mendorong Najib mengambil langkah mencabar Abdullah dalam pemilihan Umno pada 16-20 Disember.
Menurut sumber-sumber Umno negeri, mesyuarat antara dua hingga tiga jam di sebuah kelab di Sungai Petani menyaksikan perdebatan panas, termasuk nada menyalahkan presiden Umno itu, sehingga memaksa Najib mententeramkan keadaan.
"Pemimpin-pemimpin bahagian itu menyatakan (mantan perdana menteri Tun) Dr Mahathir (Mohamad) sepanjang pentadbirannya selama 22 tahun tidak menyebabkan BN dan Umno kalah seteruk itu.
"Mereka juga mengkritik Abdullah kerana enggan mendengar laporan dari pihak bawah (rasa tidak puas hati orang ramai) tetapi meneruskan juga rancangannya sendiri," kata sumber itu.
Turut hadir dalam mesyuarat yang bermula 11 pagi tadi, dua naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam, ketua Wanita Datuk Seri Rafidah Aziz, setiausaha agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, ketua penerangan Tan Sri Muhammad Muhd Taib, ketua Puteri Datuk Noraini Ahmad dan ketua Putera Datuk Abdul Azeez Abd Rahim.
Pemimpin di peringkat negeri yang turut serta termasuklah bekas menteri besar Datuk Seri Mahdzir Khalid, bekas menteri penerangan Datuk Abdul Kadir Sheikh Fadzir, adiknya Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir dan ketua bahagian Kubang Pasu Datuk Mohd Johari Baharum.
Beberapa ketua bahagian yang dihubungi Malaysiakini malam ini enggan mengulas butiran mesyuarat itu dengan alasan ia diadakan secara tertutup.
Hanya Abdul Azeez menyatakan perkara sedemikian - mendorong Najib mencabar Abdullah - tidak pernah dibangkitkan dalam pertemuan tersebut.Malaysiakini difahamkan, sekumpulan ahli akar umbi Umno menaikkan kain rentang sebelum pertemuan itu yang menggesa Najib mengambil alih kepemimpinan Umno.
Setiap bahagian menghantar sembilan pemimpin, termasuk ketua dan jawatankuasanya, ke mesyuarat tersebut.Menurut sumber-sumber itu lagi, pertemuan untuk penilaian punca kekalahan Umno negeri bertukar menjadi pentas mengecam cara Abdullah memilih calon-calon BN. Kira-kira separuh calon BN negeri dalam pilihanraya ke-12 terdiri calon muka baru atau tidak terlibat di peringkat bahagian - mereka digelar "calon paracut".
Muka baru itu termasuklah setiausaha-setiausaha Abdullah sendiri, Datuk Othman Desa (parlimen Sik) dan Datuk Hasbullah L. Isa (Jeneri), Datuk Mukhriz Mahathir (parlimen Jerlun) dan Datuk Azimi Daim (Bandar Baharu) - semuanya tewas kecuali anak Dr Mahathir, tokoh yang masih berpengaruh besar di Kedah.
Oleh kerana ramai yang mahu "meluahkan perasaan" di majlis itu, kata sumber lagi, Najib menyarankan mereka menulis laporan kepada jawatankuasa pengurusan Umno yang diketuainya.
Agensi berita Bernama melaporkan, kaedah pemilihan calon yang tidak mendapat restu di pemimpin-pemimpin bahagian didapati satu daripada punca-punca penyebab BN kalah teruk.
Najib, menurut laporan itu lagi, berkata kebanyakan ketua bahagian dan ahli jawatankuasa mereka kecewa apabila calon-calon yang disenaraikan dari Putrajaya tidak dirujuk kepada mereka.
- Malaysiakini
Friday, April 11, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment