Thursday, April 3, 2008

Piala AFC: Kedah menang lagi


KUALA LUMPUR – Dua wakil Malaysia, Kedah dan Perak menghidupkan peluang untuk melayakkan diri ke pusingan kedua kalah mati selepas menewaskan lawan masing- masing di peringkat kumpulan Piala AFC, semalam, lapor KAMARUDDIN ISMAIL.

Kedah yang beraksi di tempat lawan iaitu di Stadium Mongkok, Hong Kong menewaskan wakil tuan rumah, kelab South China 3-1 dalam saingan Kumpulan D

Badrul Bakhtiar membuka tirai jaringan buat pasukan pelawat pada minit ke-31 selepas menyambut hantaran lintang Marlon Alex James dalam kotak penalti untuk menolak bola masuk dari jarak dekat.

Bagaimanapun South China bangkit menyamakan kedudukan menerusi tandukan Cristiano Alves Pereira pada minit ke-59 yang berpunca daripada sepakan sudut.

Tetapi Kedah hanya memerlukan enam minit selepas itu untuk kembali di depan menerusi Marlon yang menyambut hantaran Nelson San Martin.

Pemain gantian, Saramsak Kram menambah derita South China dengan gol ketiga pada minit ke-85 juga selepas menampan mudah dari jarak dekat.

Kemenangan itu membolehkan Kedah menghuni tangga kedua Kumpulan D di belakang wakil Singapura, Home United dengan enam mata daripada tiga perlawanan.

Sementara itu, Perak yang beraksi di tempat sendiri di Stadium Perak pula menewaskan satu lagi kelab Hong Kong, Kitchee FC 2-1 dalam saingan Kumpulan E.

Pemain import Perak, Mario Barios muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada minit-minit akhir permainan selepas kedudukan terikat 1-1.

Mario bijak mencuri ruang daripada keadaan kelam kabut di depan pintu gol Kitchee FC untuk memberi tiga mata bermakna buat Perak.

Sebelum itu, Perak lebih dulu mendahului menerusi jaringan cantik dari jarak 35 meter yang dilakukan Hardi Jaafar pada minit ke-11.

Pasukan pelawat kemudiannya berjaya menyamakan kedudukan menerusi Goran Stankovski pada minit ke-73.
Seperti Kedah, kemenangan itu membolehkan Perak melonjak ke tangga kedua di belakang Angkatan Tentera Singapura dengan enam mata daripada tiga perlawanan.

Kedua-dua wakil Singapura turut mencatat kemenangan semalam untuk muncul sebagai pendahulu dengan sembilan mata.
Admin....apa nak buat...negeri kedah ni dalam banyak hal memag hebat...

No comments: