ALOR SETAR, 12 April (Hrkh) - Desas-desus yang mengatakan Kerajaan Kedah mahu menutup semua hotel milik kerajaan negeri adalah tidak benar, malah tidak diketahui dari mana datangnya sumber berita tersebut.
Dalam satu sidang media, Exco Pelancongan dan Pembangunan Masyarakat Kedah, Mohd Radzhi Salleh menafikan berita tersebut dan sekaligus menyifatkan ianya sebagai satu fitnah untuk menakutkan para pelabur di bidang pelancongan di negeri Kedah.
"Saya ditemui ramai pelabur yang menyatakan tentang khabar berkenaan dan menyatakan kebimbangan mereka berkaitan perkara ini. Saya tegaskan kerajaan negeri tak pernah terfikirpun nak buat macam tu malahan kita sedang berkira-kira untuk menambahkan lagi bilangan hotel yang dimiliki agensi kerajaan negeri.
"Sebagai contoh, baru-baru ini melalui anak syarikat kita, PKNK telah mengambil-alih hotel Swiss Inn di Sungai Petani. Dalam masa yang sama kita banyak terima pelabur dalam dan luar untuk wujudkan hotel-hotel baru," katanya.
Selain itu beliau melahirkan rasa kesalnya dengan pihak pusat yang tidak konsisten dalam mengeluarkan kenyataan berkaitan program pelancongan di peringkat negeri.
Ini berikutan tindakan Kementerian Pelancongan menamatkan perkhidmatan semua pengerusi dan ahli Majlis Tindakan Pelancongan Negeri (MTPN) di seluruh negara termasuk negeri-negeri yang dikuasai oleh parti pembangkang.
"Kita tak tahu pihak pusat ni yang keluar arahan tak menentu kadang-kadang kata nak teruskan aktiviti, ada masa kata nak berhenti program pelancongan.
"Dia kena buat satu kenyataan yang jelas sebab kita di pihak kerajaan negeri sentiasa memberi sokongan kepada semua aktivit-aktiviti pusat. Kalau boleh, pusat jangan main dolak-dalik. Saya nak saran sekali lagi, pihak pusat kena buat kenyataan secara jelas tentang perkara ini," tegasnya.
Mohd Radzhi juga menjelaskan bahawa kerajaan negeri Kedah tidak pernah menolak kehadiran pegawai-pegawai dari pusat tetapi katanya, tindakan mereka yang tidak mahu bercampur dengan kerajaan negeri amat dikesali.
"Contohnya, LADA yang di bawah pusat, tapi apa yang dibuat itu di atas tanah kerajaan negeri Kedah, dia guna tanah, sumber air dari Kedah. Kerajaan Kedah sentiasa berharap untuk berbaik dengan mereka. Dengan membuat kenyataan tak mahu campur dengan kerajaan negeri itu satu yang kurang baik dan boleh menjejaskan indusrti pelancongan dan orang takut nak melabur di sini," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment