Wednesday, April 9, 2008

Pesuruhjaya Tinggi India ucap tahniah pada MB Kedah


ALOR STAR, 9 April (Hrkh) - Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi India Ke Malaysia, Ashok K. Kantha di Wisma Darul Aman baru-baru ini.

Berkata kepada media, Ustaz Azizan menjelaskan pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan kerjasama dua hala di antara Kerajaan Negeri Kedah dengan India terutama dalam bidang pembangunan industri, pelancongan dan pendidikan.

"Beliau menjemput saya untuk membawa rombongan dagangan ke India bagi menerangkan kepada pelabur-pelabur di India mengenai perkembangan dan keperluan yang diperlukan untuk membangunkan negeri Kedah," jelasnya.

Katanya lagi, pihak kerajaan negeri akan merujuk perkara ini kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kedah Investment Corporation (KIC) , Dato' Puad Md Ali untuk dibuat penyelarasan dan mengkaji tawaran terbaik kepada pelabur-pelabur di India.

"Kedah mempunyai kemudahan seperti tapak di Kulim Hi-Tech, Sungai Petani dan juga Langkawi. Kita akan terus memperluaskan penyertaan pelabur-pelabur dari seluruh dunia," katanya lagi.

Sementara itu, Ashok menjelaskan tujuan lawatan beliau ke Kedah ini adalah untuk menyampaikan ucapan tahniah dan penghargaan bagi pihak kerajaan India kepada kerajaan baru Kedah di bawah pimpinan Ustaz Azizan.

"Beliau (Ustaz Azizan) menekankan tentang pembentukan dan perjalanan sebuah kerajaan yang baik . Saya juga ingin meneroka kemungkinan untuk memperluaskan kerjasama antara kerajaan India dan Malaysia terutamanya di negeri Kedah.

"Kita telah pun mempunyai pelaburan dagangan yang besar di antara India dan Malaysia dengan beberapa syarikat India telah pun wujud di Kedah. Terdapat potensi kerjasama di dalam pelaburan dagangan, pendidikan, kebudayaan dan pelancongan.

"Kami menjemput Menteri Besar dan rombongan dagangnya untuk melihat projek-projek yang dijangka akan menjadi projek utama di dalam bidang pembuatan, bioteknologi, pertanian, petrokimia dan pendidikan.

"Ini adalah antara bidang utama yang boleh diusahakan di mana kita mempunyai teras yang kompetan dengan menggalakkan syarikat-syarikat dari India untuk datang ke Kedah dan kami juga ingin menggalakkan syarikat-syarikat dari Kedah untuk datang ke India.

"India telah berkembang dengan baik melalui pertumbuhan melebihi lapan peratus dalam tempoh lima tahun. Beliau turut memberikan contoh beberapa syarikat India yang beroperasi di Kedah dalam bidang farmaseutikal dan bioteknologi. Kedah juga kaya dengan biodiversiti dan saya rasa memang terdapat peluang kerjasama dalam bidang ini," jelasnya. - mks.


No comments: