Saturday, April 5, 2008

Pas sokong pulau produk Belanda


ALOR STAR 4 April – Umat Islam negara ini digesa untuk bersatu tanpa mengira fahaman politik bagi memboikot produk keluaran Belanda dalam usaha menunjukkan protes terhadap filem Fitna yang menghina agama suci itu.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Mahfuz Omar berkata, penyatuan umat Islam penting kerana isu itu membabitkan kesucian agama dan bukannya kepentingan politik.

“Jika semua bersatu memboikot barangan keluaran Belanda sudah tentu ia akan memberi kesan kepada ekonomi mereka.

“Ia boleh menimbulkan kemarahan rakyat Belanda kepada penerbit filem ini iaitu Geert Wilders yang juga ahli politik negara tersebut kerana sumber pendapatan mereka terjejas,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Roti Ikhwan di pekarangan Pekan Rabu di sini hari ini.

Menurut Mahfuz, beliau percaya isu ini adalah isu sejagat dan tidak hanya melibatkan parti-parti politik yang ada di negara ini.

Katanya, filem Fitna adalah satu lagi usaha Barat untuk mencemarkan nama baik Islam.
“Selagi umat Islam tidak bersatu padu dan berpegang teguh pada ajaran Islam, pihak Barat akan sentiasa mencari ruang untuk menghina kita,” tambahnya.

Fitna yang disiarkan di Internet pada 27 Mac lalu mengkritik dan menghina agama Islam dengan menunjukkan surah al-Quran dengan berlatarbelakangkan imej pengganas.
Disedut dari :- Utusan Malaysia

No comments: