JITRA 12 April - Perasaan rakyat yang terguris ekoran kritikan berterusan terhadap Tun Dr. Mahathir Mohamad didakwa antara punca kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) di negeri-negeri utara Semenanjung pada pilihan raya umum lalu.
Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, maklum balas yang diterimanya menunjukkan rakyat berasa kecewa apabila bekas Perdana Menteri itu dikritik hebat termasuk oleh pemimpin-pemimpin UMNO dan BN sendiri.
Katanya, ini kerana sentimen rakyat terhadap Dr. Mahathir yang menjadi Perdana Menteri selama 22 tahun masih kuat, membuatkan mereka menzahirkan perasaan kecewa itu menerusi peti undi.
"Rata-rata rakyat memaklumkan kepada saya mereka berasa begitu kecewa atas cacian dan penghinaan yang telah dilontarkan terhadap ayah saya. Malangnya ia daripada orang-orang UMNO dan BN sendiri.
"Ini mengguris hati mereka, maka dizahirkan melalui undi pada pilihan raya baru-baru ini," katanya.
Mukhriz juga berkata, DAP memberi perhatian istimewa kepada Dr. Mahathir kerana bekas Perdana Menteri itu masih berpengaruh dalam politik meskipun telah bersara lima tahun lalu.
Sukar tandingiMenurut beliau, meskipun Pengerusi DAP, Karpal Singh mengibaratkan bapanya itu sebagai 'badut', Karpal ternyata sukar menandingi Dr. Mahathir sebagai ahli politik ketika bekas Perdana Menteri itu menerajui negara.
"Badut' ini (Dr. Mahathir) berkhidmat sebagai Perdana Menteri selama 22 tahun dan menang empat atau lima pilihan raya serta mengalahkan pihak pembangkang.
"Malah Karpal dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang telah kecundang dalam pilihan raya yang diterajui pihak Barisan Nasional (BN) oleh Dr. Mahathir satu ketika dahulu.
"Jadi kalau 'badut' boleh kalahkan Karpal, jadi Karpal tu agaknya lebih teruk dari 'badut'lah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan projek pemasangan paip di Kampung Telaga Jambu, Pida 2, Jerlun di sini hari ini.
Mukhriz yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO berkata, kenyataan Karpal yang meminta Dr. Mahathir berhenti mengkritik kepimpinan sedia ada jelas mempunyai kepentingan tersendiri.
"Setiap kali pihak pembangkang mengeluarkan kenyataan seperti itu khususnya Karpal, kita mesti ingin mengetahui kenapa?. Saya yakin beliau mempunyai sebab untuk berbuat demikian," katanya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment