Saturday, April 5, 2008

Dr. M sokong lebih banyak EGM


LANGKAWI 4 April – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyokong UMNO Bahagian Gua Musang mengadakan mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan keputusan pilihan raya umum Ke-12 dan masa depan parti itu.

“Saya berharap lebih banyak bahagian di seluruh negara mengadakan mesyuarat seumpama itu untuk meminta Majlis Tertinggi UMNO mengadakan perhimpunan khas bagi membincang hala tuju parti,” katanya kepada pemberita selepas melawat ladang kuda Island Horses di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai Persidangan Perwakilan Khas UMNO Bahagian Gua Musang hari ini yang meluluskan usul meminta Majlis Tertinggi UMNO supaya mengadakan perhimpunan agung khas bagi membincangkan hala tuju parti selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

UMNO Bahagian Gua Musang mengadakan EGM selepas dua per tiga daripada anggota jawatankuasa bahagian itu bersetuju mengadakannya mengikut Fasal 14.6.1 Perlembagaan UMNO.
– Bernama

No comments: