Friday, April 18, 2008

Nor Azreen berjaya dipujuk pulang


SEPANG: Che Siti Nor Azreen Che Ishak, remaja berusia 14 tahun yang mengikut seorang lelaki warga Indonesia ke Lombok Timur, Indonesia pada Disember tahun lalu, tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), di sini, malam tadi selepas berjaya dipujuk bapanya untuk kembali ke tanah air.
Dia yang dipanggil Azreen tiba bersama bapanya, Che Ishak Che Kob, dari Jakarta jam 9 malam tadi diiringi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Paroi, Mohamad Taufek Abd Ghani dan wakil badan bukan kerajaan (NGO), Kijang Care membantu menjejakinya. Che Ishak, 45, berkata beliau gembira kerana dapat membawa Azreen pulang ke tanah air selepas menghadapi pelbagai halangan ketika di Indonesia.

"Saya bersyukur kerana Azreen selamat tiba di sini selepas banyak halangan dan dugaan terpaksa saya lalui. Bagaimanapun, saya minta maaf kerana tidak boleh tunggu lebih lama dan buat masa ini anak saya belum bersedia untuk bertemu media. "Banyak lagi masa...bila dia dah sedia saya akan panggil media. Buat masa ni tolong jangan rakam gambar anak saya kerana dia masih trauma," katanya sejurus keluar dari Balai Ketibaan Antarabangsa LCCT.
Turut menyambut kepulangan Azreen adalah beberapa kenalan keluarganya dari Rantau, Negeri Sembilan dan Pengerusi Kijang Care yang juga Adun Salor Kelantan, Datuk Husam Musa.
Sejurus keluar dari balai ketibaan, Azreen yang dikawal ketat petugas Kijang Care dan dipeluk erat bapanya terus ke sebuah kereta Proton Waja yang sedia menunggu untuk membawanya bertemu ibu dan ahli keluarga lain di satu lokasi rahsia. Kepulangan Azreen ke tanah air adalah hasil usaha sama Kijang Care dan Migrant Care dari Indonesia.
Azreen ditemui di sebuah perkampungan di Lombok Timur awal bulan ini dan ditempatkan di Pusat Kebajikan Sosial Lombok Timur sebelum dipertemukan dengan bapanya pagi Selasa lalu. Sehari sebelum itu, Che Ishak yang berasal dari Kelantan, ditemani wakil Migrant Care, Alex Ong serta dua wakil Kijang Care berlepas ke Jakarta membawa bekalan rendang ayam kampung, asam boi dan buah salak untuk memujuk anak perempuannya pulang ke pangkuan keluarga. Remaja itu dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Ladang Ulu Sawah, Kuala Sawah, jam 9 pagi 20 Disember dengan alasan untuk melawat seorang rakan dan dihantar abangnya, Che Mohd Azroy, 15, ke perhentian bas berdekatan rumah.

Dia berjanji menghubungi bapanya jam 1 tengah hari untuk menjemputnya pulang, tetapi gagal berbuat demikian dipercayai mengikut seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun yang juga jirannya sebelum ditemui semula bersama lelaki berkenaan 4 April lalu.
-Berita Harian
P/S Alhamdulillah, ini juga merupakan usaha PAS. Paper mcm sembunyikan ja. Ayah dia secara terang dah habaq kerajaan negeri 9 tak buat apa.

No comments: