"KAMI tidak akan bertahan sebaliknya akan terus melancarkan serangan."
Itu amaran ketua jurulatih Kedah, Mohd. Azraai Khor Abdullah kepada pasukan Melaka menjelang pertemuan suku akhir kedua Piala FA di Stadium Darul Aman, Alor Star malam ini.
Walaupun skuad Kenari mempunyai kelebihan agregat 4-1 hasil kemenangan pada perlawanan pertama, namun pengendalinya tetap akan membariskan kesebelasan terbaiknya dalam usaha menyekat kemaraan lawan.
Menurut Azraai, dia tidak mahu pemainnya bermain secara bertahan pada perlawanan tersebut kerana percaya lawan mampu untuk bangkit mengejutkan pasukannya.
"Memandangkan kebanyakan pemain telah pulih daripada kecederaan saya akan menurunkan kesebelasan utama yang mantap pada perlawanan ini.
"Cuma Victor Andrag dan Syafiq Jamal sahaja yang masih belum pulih sepenuhnya, tetapi nama mereka mungkin akan disenaraikan," kata Azraai ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Katanya lagi, jika pasukannya berada dalam kedudukan selesa selepas separuh masa pertama, dia mungkin memasukkan pemain muda pada babak kedua.
Jelas Azraai, dia akan menggunakan setiap peluang yang ada untuk memberikan pendedahan kepada barisan mudanya.
Dalam pada itu, Azraai turut mengingatkan pemainnya supaya tidak memandang mudah keupayaan lawan.
"Mereka (pemain) perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk mempertahankan kubu daripada dibolosi lawan.
"Saya mahu semua pemain terus mempamerkan aksi terbaik bagi merealisasikan impian melangkah ke pusingan separuh akhir," katanya.
No comments:
Post a Comment