Thursday, April 17, 2008

Kedah cemerlang, Perak terikat

ALOR STAR - Juara Liga Super, Kedah menghidupkan peluang ke pusingan kedua peringkat kalah mati Piala AFC selepas menumpaskan wakil Hong Kong, South China 3-0 dalam saingan Kumpulan D di Stadium Darul Aman malam tadi.

Dua pemain import Sang Kenari, Marlon Alex James dan Nelson Sam Martin muncul wira pasukan tuan rumah selepas meledakkan gol-gol kemenangan.
Ini sekali gus memastikan Hijau Kuning kini mengumpul sembilan mata daripada empat perlawanan di tangga kedua, ketinggalan tiga mata di belakang wakil Singapura, Home United.
Perlawanan pada separuh masa pertama berlangsung hambar sehingga meresahkan kira-kira 10,000 penyokong Hijau Kuning yang mengharapkan Kedah mengutip tiga mata penuh bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya pada kejohanan julung kali disertai pasukan bimbingan Mohd. Azraai Khor Abdullah itu.

Percaturan Mohd. Azraai memasukkan penyerang berpengalaman, Hasmawi Hassan pada babak kedua perlawanan berjaya mengubah rentak permainan Kedah dengan melancarkan serangan-serangan berbahaya ke kubu South China sebaik sahaja wisel separuh kedua permainan ditiupkan pengadil.

Serangan bertali arus Kedah akhirnya membuahkan hasil selepas tandukan ke belakang Haswawi pantas disambar Alex James sebelum merembat kencang menewaskan penjaga gol untuk gol pertama Hijau Kuning pada minit ke-55.

Jentera tengah pasukan Kedah, Sam Martin memastikan kemenangan Sang Kenari menerusi dua golnya pada minit ke-70 dan ke-85.

Selepas ini Kedah akan berkunjung ke Maldives untuk menentang Victory FC pada 30 April sebelum menamatkan saingan peringkat Kumpulan D bertemu wakil Singapura, Home United di gelanggang sendiri pada 14 Mei.

Sementara itu, satu lagi wakil negara, Perak hanya mampu mencatat keputusan seri 2-2 dengan kelab Hong Kong, Kitchee dalam saingan Kumpulan E di Stadium Mongkok.

Keputusan itu bagaimanapun turut membolehkan Perak mencerahkan peluang untuk layak ke pusingan kedua tetapi perlu menang menentang New Radiant (Maldives) pada 30 April dan Tentera Singapura pada 14 Mei.

Ketika ini, Perak di tangga kedua Kumpulan E dengan tujuh mata, ketinggalan tiga mata di belakang Tentera Singapura.

- Utusan Malaysia

No comments: