Friday, April 18, 2008

Naib Presiden LDP isytihar keluar parti

KOTA KINABALU 17 April - Naib Presiden Parti Liberal Demokratik (LDP), Datuk Liew Yun Fah hari ini mengisytiharkan keluar daripada parti itu bersama ahli jawatankuasa di Bahagian Merotai dan Balung serta melibatkan lebih 1,000 ahli.

Yun Fah berkata, beliau melepaskan semua jawatan yang disandangnya dalam parti berkuat kuasa hari ini dan kedua-dua bahagian tersebut dibubarkan.

Menurut beliau, keputusan nekad itu diambil selepas mendapati tindakan menggantung keahliannya bersama empat lagi pemimpin kanan LDP oleh Majlis Tertinggi (MT) parti dilakukan secara tidak adil.

"Kita tidak berpuas hati dengan tindakan pucuk pimpinan yang menggantung keahlian kami tanpa berbincang terlebih dahulu dengan mereka yang terlibat, sebaliknya menyebarkan perkara itu kepada media.

"Sepatutnya MT LDP perlu memberitahu kepada kami dahulu sebelum membuat sebarang keputusan besar seperti itu," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sabtu lalu, Presiden LDP, Datuk Liew Vui Keong memberitahu, MT LDP dalam satu mesyuarat memutuskan menggantung keahlian Yun Fah dan empat lagi pemimpin kanan parti itu kerana didakwa melakukan sabotaj terhadap calon BN pada pilihan raya umum lalu.

Kesemua mereka diberi tempoh selama 10 hari untuk berjumpa dengan MT parti itu bagi memberikan penjelasan mengenai dakwaan tersebut.

Mengulas lanjut, Yun Fah yang sebelum ini Ketua LDP Bahagian Merotai berkata, beliau tidak menyesal dengan tindakan keluar parti kerana berasakan semua pengorbanannya selama ini seolah-olah tidak dihargai.

"Saya sudah jangka terpaksa pilih keputusan ini, ia bukan kerana saya tidak dipilih mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai pada pilihan raya umum lalu," katanya yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan Sabah.

Mengenai tawaran untuk menyertai Parti Progresif Penduduk (PPP), beliau tidak menolak kemungkinan akan menyertai parti tersebut tetapi pada masa ini belum membuat apa-apa keputusan.

Baru-baru ini, Timbalan Presiden PPP, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof menawarkan secara terbuka kepada Yun Fah untuk menyertai parti itu bagi meneruskan karier politik selepas digantung keahliannya.

Nik Sapeia berkata, sekiranya bersetuju Yuh Fah, beliau akan ditawarkan jawatan Pengerusi PPP Negeri dan penyandang sedia ada telah bersetuju memberi laluan kepada beliau.


p/s satu dah kluaq. Yang len bila lagi???

No comments: