Thursday, August 21, 2008

Semakin kuat Anwar diserang, semakin bertambah sokongan untuknya

Sementara keputusan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh belum diumumkan, eloklah seluruh rakyat Malaysia meneliti bagaimana persembahan media arus perdana di negara ini sejak Dato' Seri Wan Azizah meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen pada 2 Ogos lalu.

Tujuannya ialah supaya, mana-mana pihak yang ingin melakukan 'post mortem' terhadap Pilihanraya Kecil Permatang Pauh nanti dapat membuat cerapan yang tepat terhadap keputusan yang dibuat oleh rakyat. Mereka dapat menyaksikan secara langsung sekarang, bukan selepas pilihanraya.

Sejak Wan Azizah melepaskan kerusi Parlimen, belum ada satu hari berlalu di mana Dato' Seri Anwar tidak diserang secara peribadi. Bahkan serangan terhadap Anwar melebihi dari serangan terhadap pihak pembangkang sendiri.

Sewaktu Anwar membayangkan akan bertanding kerusi Parlimen Kulim Bandar Baharu, beliau dikecam kerana kononnya ingin menambahkan bilangan ahli keluarganya yang menjadi ahli Parlimen.

"Anaknya Nurul Izzah di Lembah Pantai, isterinya Wan Azizah di Permatang Pauh dan sekarang Anwar pula di Kulim Bandar Baharu. Mereka nak jadikan PKR sebagai parti milik kelurga," ujar seorang pemimpin Umno.

Tiba-tiba Anwar pilh Permatang Pauh. Pun tak betul juga. Kononnya Wan Azizah permainkan mandat rakyat, Anwar pilih kerusi selamat dan itu simbol kasih sayang isteri kepada seorang isteri.

Semua komen berbentuk peribadi itu datangnya dari pemimpin utama BN. Antaranya Dato' Seri Najib, Dato Hishamudin Tun Hussein, Syed Hamid Albar, Shahrizat Jalil, Khairy Jamaludin dan lain-lain. Semua komen yang mereka berikan tidak memberi kesan apa-apa terhadap politik Anwar. Ia cuma menyakitkan hati rakyat.

Sehari sebelum penamaan calon, dunia digemparkan dengan sumpah Saiful Bukhari. Ia dijawab dengan kehadiran 100,000 orang mengiringi Anwar di hari penamaan calon. Umno lebih terkejut kerana yang hadir mengiringi Anwar ialah seorang ulamak besar, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Sukar untuk difikirkan apa jenis manusia yang bernama Anwar ini, semakin diserang dan ditelanjangi maka semakin kuat pula sokongan untuknya.

Kata Tun Dr Mahathir, Anwar kalau bersalah macam mana pun seluruh dunia akan percaya cakapnya kemudian. Cakap bekas Perdana Menteri itu celupar dan irihati. Tapi itu pengalaman benar yang dilaluinya.

Orang ramai lebih percayakan Anwar dari Dr Mahathir, Abdullah dan Najib. Dr Mahathir ikhlas dalam komennya bahawa BN tidak mungkin mengalahkan Anwar dalam pilihanraya kecil ini. Dia lebih perit berhadapan dengan Anwar sehingga menjadi hina di kalangan rakyat.

Merdeka Centre yang terkenal dengan analisis politik berasaskan kajiselidik. Mereka telah mendedahkan bagaimana pihak pembangkang mendapat peningkatan sokongan di saat-saat akhir menjelang hari mengundi selepas Anwar diserang.

Sekarang jika BN memilih untuk membelasah Anwar habis-habisan, mereka sudah boleh menduga apa yang perlu diisi dalam post mortem selepas kelahan mereka dalam pilihanraya kecil nanti. Tentulah antara sebab utamanya ialah kerana menyerang Anwar secara peribadi dan keterlaluan.

Tapi apa pilihan yang ada pada BN jika tidak menyerang Anwar? Hakikatnya pilihanraya kecil ini bukanlah untuk memilih seorang wakil rakyat sama ada dari Pakatan Rakyat atau BN.

Tetapi lebih kepada, untuk menghantar Anwar Ibrahim ke Parlimen bagi melaksanakan misi nasionalnya manakala di pihak BN pula, ialah untuk menggagalkan usaha tersebut. Jika BN menyerang peribadi Anwar, mereka kalah undi. Jika BN tidak serang Anwar, mereka akan kalah moral dan undi pun belum tentu. Tentulah pilihannya menang moral. Biar kalah tapi hati puas.

Sehingga rencana ini ditulis, belum terdapat satu analisa dari mana-mana pihak yang memberi kemenangan kepada calon BN, sekalipun dari Bilik Gerakan BN sendiri. Sebuah akhbar harian yang melakukan pungutan pendapat dari pengundi mendapati sokongan terhadap Anwar dan BN ialah 80:20!

Kita berharap angka analisis mereka tidak berubah hingga ke saat akhir.

Sekitar Penamaan Calon Parlimen Permatang Pauh

Selamat Datang Ke Permatang Pauh...
Antara "kawan lama" yang hadir...
FRU yang siap siaga...

YAB Lim Guan Eng turut hadir...

Penyokong BN yang "cukup ramai"

Penyokong Pakatan Rakyat yang "sedikit"

Bersama penyokong setia...

Selepas menghantar borang pencalonan...

Mungkin mereka ingat akan berlaku kacau bilau...?

Dua Lim yang hadir..


3 ketua negeri yang hadir memberi sokongan...

Wednesday, August 6, 2008

Anwar dituduh meliwat esok

Polis menyerahkan satu dokumen kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta beliau hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur 10 pagi esok bagi menghadapi pertuduhan meliwat.Dokumen itu diserahkan di kediamannya di Bukit Segambut, hanya beberapa minit sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh pilihanraya kecil Permatang Pauh yang akan disertainya pada 16 Ogos ini.Kata seorang pegawai penasihat PKR itu, dokumen itu disampaikan oleh pegawai penyiasat kes dakwaan meliwat, DSP Jude Pereira.Polis Kuala Lumpur tiba di kediaman Anwar pada 12:08 minit dan meninggalkan hampir 10 minit kemudian.Tokoh pembangkang itu dijadual mengadakan sidang medianya di ibu pejabat PKR di Tropicana, Petaling Jaya pada jam 3 petang ini. SPR menetapkan hari mengundi bagi pilihanraya kecil pada 26 Ogos - satu pertandingan yang paling dinanti-nantikan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding semula selepas tiga penggal.

Mengundi di Permatang Pauh 26 Ogos


Pengundi di Permatang Pauh akan menentukan ahli parlimen baru kerusi itu pada 26 Ogos ini dalam satu pilihanraya kecil yang paling dinanti-nantikan apabila Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding semula selepas tiga penggal.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang bermesyuarat hari ini menetapkan hari penamaan calon pada 16 Ogos.

Permatang Pauh merupakan kerusi tradisi Anwar selama 17 tahun sejak memenanginya pada 1982 atas tiket BN. Isterinya dan juga presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menguasainya selama tiga penggal sewaktu Anwar dipenjarakan pada 1999 dan 2004 dan dilarang bertanding dalam pilihanraya umum Mac lalu.


Dalam kenyataan media yang diedarkan kepada wartawan yang menunggu di ibu pejabatnya di Putrajaya, pengerusi SPR Tan Sri Ab Rashid Ab Rahman menyatakan seramai 58,459 pemilih termasuk 490 melalui pos layak membuang undi.


Daftar pemilih yang digunakan dalam pilihanraya tersebut dikemaskinikan sehingga 31 Julai, katanya. Beliau mengingatkan semua calon supaya tidak menyentuh sebarang isu yang melibatkan kes-kes petisyen pilihanraya umum lalu dalam kempen-kempen mereka.Ab Rashid juga menyeru calon-calon menjaga tatatertib berkempen dan mematuhi undang-undang.


MALAYSIA KINI






10 PENYELEWENGAN BESAR DALAM KES ANWAR


Penyiasatan dan pendakwaan ke atas Anwar Ibrahim telah menimbulkan pelbagai persepsi dan spekulasi. Meskipun Anwar Ibrahim belum di dakwa secara rasmi di mahkamah, terdapat pelbagai kepincangan dalam siasatan dan dalam perjalanan kes ini. Berikut ialah 10 perkara misteri dan luar biasa yang timbul dalam kes Anwar.


1. Laporan Pengadu enggan diserahkan

Ini merupakan satu perkara yang luar biasa. Lazimnya, apabila seseorang yang dituduh dengan sesuatu kesalahan meminta laporan polis yang dibuat oleh pengadu, ianya akan dibekalkan dalam masa seminggu ke dua minggu oleh pihak polis. Tanpa laporan pengadu, orang yang tertuduh sukar membela diri kerana apa yang didakwa pun tentulah tidak jelas. Pengalaman penulis memohon laporan polis bagi membela anak guam membuatkan penulis hairan kerana penulis pernah beberapa kali mendapat laporan pengadu pada pagi yang sama penulis memohon. Kenyataan Hamid Albar bahawa laporan enggan diberi kerana pendakwaan belum dimulakan secara rasmi tidak masuk akal kerana masyarakat maklum Anwar telah ditahan oleh polis, keterangannya telah diambil dan beliau perlu membela diri dan reputasinya. Ini meyakinkan masyarakat bahawa laporan polis belum ada dan perbincangan sedang dibuat berhubung inti laporan tersebut untuk mendapatkan tarikh dakwaan yang paling sesuai.

2. Anwar ditangkap sebelum tempoh

Adalah sesuatu yang cukup memalukan apabila pihak polis memungkiri janji dan menangkap Anwar sebelum tempoh yang diberikan tamat. Tempoh diberi sehingga pukul 2 petang tetapi Anwar ditangkap sekitar pukul 1 petang. Mungkin polis terbawa-bawa sikap Pak Lah yang kerap membuat kenyataan palsu.

3. Anwar disabitkan bersalah sebelum dibicarakan

Apabila Pak lah diminta mengulas berhubung kes Anwar, Pak Lah dengan segera berkata bahawa memanglah penjenayah akan menafikan kesalahannya. Belum pun perbicaraan bermula, Anwar sudah disabitkan sebagai pesalah oleh Pak Lah. Pada masa yang sama, apabila Pak Lah diminta mengulas berhubung dakwaan ke atas najib dan Rosmah, Pak Lah dengan segera menyatakan bahawa Pak Lah berkeyakinan penuh bahawa Najib dan Rosmah tidak bersalah. Jika Mahathir dikaitkan dengan konspirasi perlantikan hakim, pak Lah selangkah ke hadapan dengan melantik dirinya sebagai hakim tidak rasmi.

4. DNA baru Anwar diminta oleh Pak Lah dan Khairi.

DNA Anwar sudah lama dimiliki oleh pihak polis berikutan siasatan kes lamanya. Paten DNA tidak akan berubah. Justeru DNA baru tidak diperlukan melainkan jika hendak digunakan sebagai bukti palsu yang hendak dicalit dibadan pengadu. Tindakan Khairi dan Pak Lah yang berulangkali menuntut Anwar memberi DNA barunya menimbulkan tanda tanya berhubung tujuan mereka. Apabila Anwar mendedahkan perkara ini di dalam muka depan Suara Keadilan, Pak LAh dan Khairi diam membisu. Kalau anak dara yang diam, ini bermakna anak dara tersebut setuju dengan pinangan. Justeru, diamnya Pak LAh dan Khairi seakan mengiyakan persepsi masyarakat bahawa inilah tujuannya.

5. Laporan Pusrawi

Perlu diakui bahawa laporan Pusrawi sebelum ini bukanlah laporan rasmi bagi kes Anwar. Meskipun begitu, fakta bahawa seorang doktor, meskipun bukan doktor pakar kes liwat, telah melihat lubang punggung Saiful dan tiada sebarang kesan koyakan atau apa-apa tanda diliwat adalah relevan. Meminjam istilah yang selalu digunakan di dalam kes-kes berkaitan Puspakom, pemeriksaan yang dibuat adalah pemeriksaan mata kasar. Meskipun begitu, ianya tetap relevan dan keterangan sudah cukup untuk menimbulkan keraguan munasabah. Pejabat Peguam Negara selama ini tidak membuat pendakwaan melainkan yakin dengan tahap 90% bahawa tertuduh memang bersalah dan bukti-bukti yang ada benar-benar kuat.

6. Bukti alibi Anwar memadai

Kepincangan dalam kes ini semakin menjadi-jadi apabila pihak polis berkeras meminta DNA baru Anwar sedangkan bukti alibi Anwar tidak dikaji. Sepatutnya, polis menyerahkan laporan Saiful kepada Anwar supaya Anwar boleh membela diri dengan menjelaskan di mana Anwar berada pada tarikh yang didakwa Saiful berlaku liwat tersebut. Seterusnya, alibi Anwar perlu disiasat. Sebagai contoh, Antihusam (blogger UMNO) mendakwa punggungnya telah saya liwat pada pukul 11 malam , 20 Julai 2008 di Hotel Sunway. Saya akan memaklumkan bukti alibi saya pada waktu itu. Contohnya, saya menyatakan bahawa pada waktu tersebut, saya menghadiri ceramah Ustaz Hadi di markas Pas. Terdapat lebih 20 kawan saya yang boleh membuktikan kehadiran saya. Justeru, mustahil saya meliwat Antihusam. Apabila pihak polis selesai menyoal alibi-alibi saya dan berpuas hati bahawa saya mustahil meliwat Antihusam, siasatan patut ditamatkan. Begitulah juga dalam kes Anwar. Tindakan pihak polis yang beria-ia mahukan DNA baru Anwar kelihatan senada dengan Pak Lah dan Khairi.

7. Pendakwaan oleh Pejabat Peguam Negara

UMNO ke sana ke sini membuat kenyataan bahawa kes Anwar tidak akan diuruskan oleh Pejabat Peguam Negara kerana Peguam Negara sendiri sedang disiasat berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan kuasa yang dibuat oleh Anwar. Pendakwaan, jika jadi, akan dibuat oleh Peguam Cara Negara. Masyarakat sedia maklum bahawa pendakwaan masih akan diteruskan oleh Pejabat Peguam Negara sekalipun diketuai oleh Peguam Cara Negara. Adalah pelik bin ajaib untuk mendakwa Pejabat Peguam Negara tidak akan dipengaruhi oleh Peguam Negara. Nama pun Pejabat Peguam Negara.

8. Laporan HKL

Timbul isu terbaru bahawa laporan rasmi HKL turut bocor dan laporan tersebut menyatakan bahawa Saiful memang tiada tanda-tanda diliwat dan mustahil Saiful diliwat. Ini menunjukkan Saiful tidak ikhlas membantu BN. Sekiranya Saiful komited membantu BN, Saiful sepatutnya pergi ke Lorong Haji Taib dan menyuruh pondan-pondan di situ meliwatnya beberapa kali agar kesan liwat ketara. Ini menunjukkan perancangan lemah BN dan ketidak ikhlasan Saiful dalam membantu BN.

9. Isu motif dan tujuan

Kes ini menimbulkan keraguan yang cukup banyak apabila kepimpinan UMNO seperti Najib mengakui telah berjumpa dengan Saiful sebelum saiful membuat laporan polis. Adalah menjadi pengetahuan umum bahawa Anwar adalah musuh politik UMNO. Justeru, polis sepatutnya menyiasat kebarangkalian berlakunya konspirasi dikalangan UMNO untuk menganiayai Anwar seperti yang pernah dibuat sebelum ini. Sebelum ini, mahkamah telahpun membebaskan Anwar dari tuduhan liwat yang dijaja oleh UMNO berdasarkan sekeping surat layang.

10. Terlampau banyak percanggahan fakta kes oleh BN

Pada mulanya, Najib mendakwa tidak pernah berjumpa Saiful. Kemudian, Najib mendakwa pula bahawa najib pernah berjumpa Saiful 2 bulan dulu di pejabat untuk membincangkan biasiswa. Kemudian, Najib berkata pula bahawa Najib telah berjumpa Saiful 2 hari sebelum laporan polis dibuat untuk membincangkan biasiswa. Tiba-tiba, Najib mendakwa pula Najib telah memegang tangan Saiful yang kesejukan 2 hari sebelum laporan polis dibuat di rumah Najib sendiri apabila Saiful yang kononnya ketakutan datang mengadu diliwat.

Saiful pula mulanya mendakwa diliwat pada 26 haribulan di sebuah kondo di Malaysia. Apabila Anwar kelihatan mempunyai bukti alibi yang kukuh, saiful menjadi terdesak. Kemudian, Saiful menyatakan pula bahawa dia telah 3 kali menemani rombongan Anwar ke luar negara dengan memberi “hint” bahawa dia kononnya telah diliwat-liwat di luar negara beberapa kali. Ini menimbulkan pelbagai tanda Tanya. Mengapa seorang lelaki yang kelihatan tinggi dan sihat seperti Saiful membiarkan dirinya diliwat-liwat beberapa kali dan terus menemani Anwar ke mana saja. Sebagai contoh, jika saya diliwat oleh sesiapa, saya akan trauma dan akan segera menjauhkan diri dari orang tersebut.

Selain itu, Saiful juga sentiasa kelihatan ceria. Demi Allah, selama saya bekerja sebagai peguam, belum pernah saya menemui mangsa rogol atau mangsa liwat yang begitu ceria. Mangsa kes serangan seksual akan trauma, malu dengan masyarakat, rasa rendah diri dan biasanya mengalami kemurungan.

Saiful juga seorang lelaki. Tidak semudah itu hendak menembusi lubang punggung seorang lelaki. Asalkan saiful mengeraskan punggungnya, mustahil Anwar dapat meliwatnya. Sekiranya Saiful benar-benar hendak diliwat, dua atau tiga orang lelaki gagah diperlukan untuk memegang Saiful dan lubang punggung saiful perlu disapu minyak terlebih dahulu sebelum diliwat.

Sekiranya ini yang berlaku, mustahil Saiful akan terus mengikut Anwar ke sana sini sehinggalah menemani rombongan Anwar ke luar negara sebanyak 3 kali.

Sebagai kesimpulan, kes Anwar Ibrahim ini tidak layak dibawa ke mahkamah untuk pendakwaan. Sekiranya saya ialah hakim bagi kes tersebut, saya akan melempar fail pendakwaan ke lantai kerana terlalu banyak kepincangan.

Tuesday, August 5, 2008

Kesejahteraan keluarga adalah kekuatan negara


BANDAR BAHARU,5 Ogos (Hrkh) - Kesejahteraan keluarga adalah faktor utama yang menjamin kelangsungan masyarakat dan kerajaan serta kekuatan bagi sebuah negara. Demikian pertegasan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Kedah Bersama Pegawai-pegawai Kerajaan dan Orang Ramai Daerah Bandar Baharu di Dewan Sri Serdang di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelaksanaan Program Baiti Jannati di daerah itu.Terang beliau, Baiti Jannati bermaksud 'Rumahku, Syurgaku' di mana syurga rumah tangga itu ialah kewujudan sebuah rumah tangga yang penuh dengan kedamaian, kasih sayang dan kemesraan.

"Untuk itu, selain memberi perhatian pembangunan fizikal, kita juga akan memberi tumpuan membimbing rakyat untuk hidup bahagia dan sejahtera," ujarnya menyatakan komitmen Kerajaan Negeri.

Menurut Ustaz Azizan, tidak ada maknanya mempunyai pendapatan tinggi dan wang yang banyak tetapi tidak dapat hidup dalam keadaan stabil, tidak harmoni dan bahagia.Oleh itu katanya, pembangunan fizikal dan kesejahteraan rumah tangga perlulah seimbang agar segala gejala tidak sihat yang memeningkan banyak pihak dapat dihindari.

Mengulas mengenai permohonan perumahan yang tinggi bagi daerah itu, Ustaz Azizan menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri menerima permintaan dari pelbagai pihak untuk membangunkan daerah itu.Ujarnya, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga telah berhubung dengan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek perumahan.

"Kita perlu kaji dari pelbagai sudut. Kita tidak mahu bila kita membangunkan kawasan ini, penduduk kita terlepas ke tepi," jelasnya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sememangnya telah meminta SPNB memberi tumpuan ke Daerah Kulim, Bandar Baharu, Sik dan Baling.Terang beliau, daerah-daerah itu memiliki banyak tanah untuk dibangunkan tanpa menjejaskan perancangan ekonomi pertanian rakyat.

"Rumah yang disediakan mungkin murah, tetapi infrastruktur dan persiapan prasarana yang perlu kita sediakan terlalu tinggi. Oleh itu kita masih berunding dengan pihak-pihak berkenaan," jelas beliau.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Ustaz Yaakub Hussin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan / Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri), Dato' Bashiruddin Abdul Jamil, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, DSP Annuar Md Nor dan Pegawai Agama Daerah Bandar Baharu, Syeikh Radzi Abdul Mutalib. - mks.

MB TERIMA KUNJUNGAN HORMAT DUTA BELGIUM

ALOR STAR, 29 Julai 08 - Kerajaan negeri tidak henti-henti menerima kunjungan hormat dari para diplomat asing .Baru-baru ini Menteri Besar Kedah, YAB Dato' Seri Azizan Abd Razak menerima kunjungan dari Duta Belgium di Malaysia, Encik Frank Leo Maria Van de Craen. Beliau yang baru pertama kali datang ke sini, mengucapkan tahniah kepada orang kanan kerajaan negeri dan menyatakan perasaan bangga beliau dengan pentadbiran baru Menteri Besar Kedah pimpinan YAB Dato' Seri Azizan Abdul Razak.
Pertemuan selama 25 minit itu merangkumi penjelasan tentang projek-projek yang akan dilaksanakan oleh kerajaan negeri.YAB Dato' Seri Azizan memberi jaminan kepada Encik Frank bahawa semua projek yang akan dilaksanakan dalam negeri ini tidak akan menjejaskan alam sekitar.Mereka juga berbincang mengenai peluang-peluang pelaburan antara kedua pihak.

PAS kerjasama dengan KeADILan, DAP bantu Anwar


KUALA LUMPUR, 5 Ogos (Hrkh) - PAS akan berganding bahu dengan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) dan DAP untuk mempastikan Mantan Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim dapat bertanding di Permatang Pauh.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahudin Ayub berkata, PAS bersedia membantu Anwar bertanding walaupun beliau ditangkap dan dipenjarakan.

"Kita akan membantu Anwar untuk mendapat kemenangan lebih besar walaupun beliau ditangkap dan walaupun terpaksa mempertaruhkan songkoknya untuk bertanding dalam pilihan raya kecil permatang Pauh," katanya ketika berucap di Taman Melewar di sini baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, usaha itu tidak akan menghalang Anwar dari mencapai cita-cita Pakatan Rakyat untuk mempastikan beliau bertanding dalam pilihanraya kecil itu.

Suruhanjaya Pilihan raya (SPR) akan membuat pengumuman tentang kekosongan kerusi parlimen Permatang Pauh dan akan menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian bagi kerusi tersebut esok.

Kerusi parlimen itu kosong berikutan peletakan jawatan oleh ahli parlimen kawasan itu, Dato' Seri Wan Azizah Ismail untuk memberi laluan kepada suaminya (Anwar) bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Wan Azizah menang dalam pilihan raya umum kawasan tersebut, 8 Mac lalu dengan majoriti 13,388 undi, mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Pirdaus Ismail. Wan Azizah mendapat 30,388 undi manakala Pirdaus 16,950 undi.

BN dijangka meletakkan calon tempatan untuk mempastikan Anwar tidak mudah mencapai kemenangan di kawasan tersebut.

Anwar sebelum ini tidak dapat bertanding dalam pilihan raya kerana dikenakan hukuman penjara enam tahun akibat tuduhan salahguna kuasa sekaligus satu sekatan berpolitik telah dikenakan ke atas beliau selepas menjalani hukuman di Penjara Sungai Buloh.

Bagimanapun sekatan bergiat aktif dalam aktiviti politik (termasuk bertanding dalam pilihn raya) telah tamat April lalu dan beliau boleh aktif semula dalam kegiatan politik. - mks._
HARAKAH DAILY