Friday, April 4, 2008

Demonstrasi aman di hadapan Kedutaan Belanda hari ini


KUALA LUMPUR, 4 April (Hrkh) - Satu perarakan aman dan demonstrasi membantah penayangan filem Fitna akan diadakan selepas solat Jumaat di Kedutaan Belanda, Jalan Ampang hari ini.

Ia akan dimulakan dengan solat Jumaat di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak diikuti dengan perarakan secara aman menuju ke kedutaan Belanda di Jalan Ampang yang diketuai oleh Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub.

Pengerusi Lajnah Dakwah dan Pembelaan Islam, Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Ridhuan Mohd Nor menyeru kepada seluruh umat Islam yang cintakan agama dan memelihara kesucian Islam agar turut sama sebagai tanda sokongan.

"Beberapa kumpulan NGO dan kumpulan Mahasiswa dijangka akan turun bagi meramaikan lagi perhimpunan tersebut," ujarnya ketika dihubungi Harakahdaily.

Tambahnya, penayangan filem berbentuk dokumentari pendek selama 15 minit 48 saat yang bermotif untuk menghina al-Quran sebagai kitab ajaran Islam adalah jelas membuktikan bahawa pihak penerbit tersebut sengaja menerbitkannya bagi mengundang kemarahan umat Islam seluruh dunia.

"Bahkan, kita menyaksikan begitu banyak bantahan yang dibuat di serata dunia sebagai tanda protes terhadap penayangan Fitna," katanya.

Tegasnya, semua pihak khususnya umat Islam hendaklah bersama-sama bangkit untuk memperjelaskan sikap terhadap usaha-usaha pihak tertentu bagi menghina dan mencemarkan kesucian al-Quran serta ajaran Islam.

"Tanggungjawab untuk menjaga kesucian al-Quran dan mempertahankan Islam adalah terpikul di bahu semua pihak, bukan sekadar persatuan yang berteraskan Islam sahaja," katanya lagi.
Justeru, beliau menyeru mereka yang prihatin agar bersama-sama dalam isu ini supaya ia menjadi pengajaran kepada mana-mana pihak yang mahu memfitnah al-Quran dan Islam tidak lagi berani mempermain-mainkan ajaran tersebut.

Orang ramai adalah dijemput hadir ke perarakan tersebut bagi menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada usaha memelihara kesucian al-Quran dan Islam.

No comments: