Thursday, April 3, 2008

Rakyat berjaya robohkan tembok yang dibina BN - Ustaz Azizan


ALOR STAR, 2 April (Hrkh) - Suasana muhibbah dan semangat penuh kerjasama serta perpaduan jelas terserlah dalam majlis pertemuan Menteri Besar bersama wakil-wakil persatuan masyarakat pelbagai kaum.

Majlis yang dihadiri lebih 600 orang daripada kira-kira 50 wakil persatuan Cina, India, Siam dan Sikh seluruh Kedah, diadakan di Kediaman Rasmi MB di Sri Mentaloon baru-baru ini. Antara yang hadir ialah Exco-exco Kerajaan Negeri, Pengerusi KeADILan Kedah, Ir. Zamri Yusuf dan Pengerusi Kelab Penyokong PAS Pusat, Ho Phang Chow.
Berucap dalam majlis tersebut, Ustaz Azizan Abdul Razak melahirkan rasa terharunya atas sokongan rakyat kepada PAS dan KeADILan dalam PRU baru-baru ini. Katanya beliau dapat memahami, bahawa rakyat sudah tidak tahan lagi dengan penderitaan dan tekanan pelbagai cara yang dilakukan oleh kerajaan yang memerintah.

"Kerajaan yang memerintah begitu lama merasakan bahawa tiada kuasa lagi yang akan merampas kekuasaan yang ada pada mereka. Tetapi hari ini kita membuktikan kepada dunia bahawa "people power" telah menjatuhkan kerajaan yang memerintah," ujar beliau yang disambut tepukan gemuruh hadirin.

"Kita telah mencipta sejarah! Kita telah memecahkan satu tembok yang lebih besar dari tembok negeri China," katanya yang menyebabkan dewan menjadi gamat dengan derai ketawa.

"Iaitu kefahaman yang menyatakan selain daripada Barisan Nasional orang lain tak boleh memerintah dan orang lain tak boleh mengadakan pakatan dan kerjasama untuk memerintah," sambut beliau melanjutkan ucapan.

Jelas beliau, sungguhpun rakyat Kedah majoriti beragama Islam, rakyat tidak perlu bimbang kerana agama Islam mengajar untuk menghormati manusia, menghormati nilai-nilai kemanusiaan dan menghormati hak-hak. Beliau juga mahu menghapuskan rasa takut di kalangan rakyat.

"Rakyat tidak harus berasa takut kepada parti pemerintah, pegawai kerajaan tidak harus takut kepada parti yang memerintah, peniaga tidak harus takut kepada parti yang memerintah, petani tidak harus berasa takut kepada pemerintah, guru-guru tidak harus berasa takut kepada pemerintah," tegas beliau.

Katanya beliau memberi kebebasan kepada pegawai kerajaan untuk menganut apa jua fahaman politik tetapi sebagai pegawai kerajaan mestilah memberikan ketaatan dalam menunaikan tanggungjawab yang diberikan.

"Bukan dasar kita menggunakan pegawai kerajaan untuk mencapai matlamat politik seperti yang diamalkan BN," katanya.

Beliau turut menyentuh slogan yang diguna dalam manifesto pilihan raya baru-baru ini iaitu Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua.

"Apa maksudnya Kedah Sejahtera? Kita menjanjikan kepada rakyat, kita akan berikan kepuasan, ketenangan, kebebasan, dan kalau kita ada peluang rezeki, habuan biar sama-sama kita kongsi," ujar beliau.

Berhubung kerajaan yang masih baru berusia 21 hari itu, beliau memberikan kiasan seperti berikut:

"Ibarat kata kalau kita masuk rumah baru, simen ada lagi, bekas cat ada lagi, kita bau cat di rumah baru ini. Ambil masa nak sesuaikan bau cat dengan bau simen. Perabut kita tak masuk lagi. Harap tuan-tuan bersabar, beri peluang kepada kami mengenal pasti program-program yang perlu diberi keutamaan," katanya.

Selain jamuan untuk para hadirin, sesi dialog turut diadakan. Ustaz Azizan turut menyampaikan sekeping cek kepada salah sebuah persatuan yang hadir. Menurut beliau cek tersebut adalah cek yang diluluskan semasa kerajan dahulu tetapi tidak diserahkan. Maklum beliau lagi masih terdapat cek-cek yang belum diserahkan.

Di akhir majlis, Ustaz Azizan meluangkan masa bersalaman dan bergambar dengan hadirin

1 comment:

Unknown said...

ما خُيِّرَ رسول اللَّهِ بين أَمْرَيْنِ إلا أَخَذَ أَيْسَرَهُمَا ما لم يَكُنْ إِثْمًا فَإِنْ كان إِثْمًا كان أَبْعَدَ الناس منه وما انْتَقَمَ رسول اللَّهِ لِنَفْسِهِ إلا أَنْ تُنْتَهَكَ حُرْمَةُ اللَّهِ فَيَنْتَقِمَ لِلَّهِ بها
Ertinya : Tidaklah Nabi S.a.w dalam memilih antara dua perkara kecuali akan mengambil yang lebih mudah selagimana tidak tergolong dalam dosa, namun jika ia tergolong dalam bab dosa maka Nabi akan menjadi orang yang paling jauh darinya dan tiadalah Nabi s.a.w membalas dendam & marah atas sebab dirinya kecuali APABILA DICEMARI DAN DICABULI kehormatan Allah swt , maka baginda akan bertindak (marah) bagi pihak Allah ( Riwayat Al-Bukhari, 3/1306 )

"Saya seringkali bertemu dengan syabab yang inginkan perubahan. Saya seringkali bertemu dengan syabab yang bersemangat bergelora. Saya seringkali bertemu dengan syabab yang berjiwa revolusioner. Saya seringkali bertemu dengan syabab yang bersuara lantang. Malah, suara-suara yang bertali-arus seringkali terngiang-ngiang di cuping telinga saya. Semangat-semangat mereka yang terpancar sering mengganggu tidur saya. Jiwa-jiwa mereka yang berkobar-kobar membuatkan saya meloncat bersama-sama. Nah, saya kira inilah masanya. Masa yang terbaik untuk menterjemahkan segala keinginan kita. Masa yang paling jitu untuk menjelmakan upaya kita melalui aksi-aksi agresif kita. Masa yang paling padu untuk membentuk suatu ketumbukan yang terkepal utuh, tergenggam kukuh, untuk memberikan satu tumbukan bukan lagi tamparan yang tidak bisa dilupakan.....
Memacu kebangkitan bersuara. Memacu kebangkitan semangat. Memacu kebangkitan kesedaran. Memacu kebangkitan gerakan. Memacu kebangkitan perjuangan. Memacu kebangkitan perubahan. Memacu kebangkitan Islam. Tidak sekali-kali goyah. Jauh sekali rebah. Tidak terdetik perasaan goyah. Bagaikan panah yang rela diluncurkan ke mana sahaja. Bagaikan ular menyusur akar tidak hilang bisanya. Dilempar ke laut menjadi pulau. Mencabar dan terus mencabar. Mendesak dan terus mendesak. Menggugah dan terus menggugah......
Praktikal, jangan hanya teoretikal. Laksana, jangan hanya simbolika. Bekerja, jangan hanya nostalgia. Lateral, nyahkan vertikel. Perwira, nyahkan kebaculan. Kita mestilah berminda negarawan, memiliki daya pemikiran sebuah kerajaan...."-Petikan ucaptama Presiden GAMIS, Saudara Dzulkhairi Mohd Noor pada konvesyen GAMIS 2007

=) moga sama2 thabat dalam perjuangan, shbt!

p/s - ana copy paste tulisan jawi ni, komputer ana pun tak boleh taip jawi =)