Saturday, April 19, 2008

Anwar saman fitnah Wee RM10 juta


KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, semalam memfailkan saman fitnah RM10 juta terhadap Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong kerana membuat kenyataan berunsur fitnah terhadapnya ketika berkempen pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Machap, 11 April lalu.
Saman Anwar itu difailkan peguamnya, S N Nair & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil di sini, semalam. Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa Dr Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam dan Setiausaha Agung Pergerakan Pemuda MCA, menuturkan kata-kata berbentuk sindiran yang kemudian disiarkan dalam laman web Malaysiakini dengan tajuk ‘Parties at their last leg of campaigning’ (Parti di peringkat akhir kempen).

Anwar berkata, kata-kata Wee dalam artikel itu membawa maksud beliau terbabit dalam aktiviti seks luar tabii yang bertentangan dengan Islam, selain seorang yang terpesong, tidak berakhlak serta tidak layak menjadi pemimpin.
“Ini memberi gambaran saya seorang yang tidak layak memegang jawatan politik, cenderung melakukan jenayah dan berbahaya kepada masyarakat Malaysia,” katanya. B
eliau mendakwa defendan menyebarkan kata-kata itu dengan niat jahat bertujuan memperkecilkannya, terutama sebagai bekas Menteri Kewangan dan bekas Timbalan Perdana Menteri.
Sehubungan itu, katanya, defendan juga mengeluarkan kata-kata itu dengan mengetahui ia akan diterbitkan media tempatan dan luar secara berulangan. Anwar turut menuntut ganti rugi teruk dan teladan serta injunksi bagi menghalang defendan mengeluarkan kata-kata fitnah mengenainya.
Beliau juga memohon kos serta faedah lapan peratus setahun atas penghakiman selain relif lain yang dianggap sesuai oleh mahkamah.

No comments: