Saturday, April 19, 2008

Caj PTPTN perlu lulus hukum syarak

MELAKA: Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan Malaysia diminta membuat kajian terperinci berhubung caj perkhidmatan empat peratus yang dikenakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada peminjam bagi mengenal pasti sama ada ia diluluskan syarak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi, berkata langkah itu bagi memastikan isu itu diperjelaskan segera, sekali gus mengelak sebarang kekeliruan pada masa depan. "Walaupun perkara itu di luar bidang kajian ahli jawatankuasa majlis, diharapkan mereka dapat menyumbang bagi memperjelaskan salah faham dan kekeliruan," katanya selepas merasmikan Majlis Muzakarah Ahli-Ahli Majlis Penasihat Syariah Institusi Kewangan Keempat di Hotel Renaissence, di sini, malam kelmarin.

Program tiga hari bermula Rabu lalu yang dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) disertai 25 institusi kewangan. Antara lain ia bagi membincangkan pelbagai isu syariah dalam pelaksanaan sistem kewangan Islam selain meningkatkan kerjasama dan penyelarasan antara institusi kewangan Islam .
Ahmad Zahid juga berharap sebarang keputusan yang dikemukakan berhubung isu itu adalah berdasarkan kepada sumber al-Quran dan hadis, selain pemikiran ulama terdahulu serta teladan yang timbul berkaitannya.
Katanya, satu penjelasan tepat perlu diumumkan bagi memastikan caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN bukanlah berbentuk faedah, sebaliknya untuk perkhidmatan yang diberikan.
"Saya menyarankan jawatankuasa muzakarah ahli majlis panel syariah membincangkan mengenai istilah tertentu yang digunakan melalui akad ataupun perjanjian antara peminjam dan pemberi pinjam supaya tidak bercanggah dengan hukum Islam," katanya .
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, usaha perlu dilakukan semua pihak terbabit bagi memastikan setiap produk pasaran modal dan perbankan Islam memberikan saingan terbaik kepada produk konvensional.
- Berita Harian

No comments: