Tuesday, April 22, 2008

Biarkan kekerapan penerbitan Harakah ditentukan pasaran


KUALA LUMPUR,22 April (Hrkh) - Akhbar rasmi PAS, Harakah bukan sahaja perlu dikembalikan kekerapan penerbitannya kepada asal, iaitu dua kali seminggu, bahkan ia hendaklah diberikan kebebasan untuk diterbitkan mengikut kehendak pasaran.

Ketua Pengarang Kumpulan, Ahmad Lutfi Othman ketika mengemukakan cadangan tersebut menegaskan bahawa pihak yang akan menentukan kadar kekerapan penerbitannya adalah pembaca, bukannya pemerintah.

"Biarkan pembaca yang menjadi penentu kekerapan pengeluaran sesebuah akhbar kerana sebagai pengusaha akhbar, kita hidup dengan hasil jualan dan tidak sepatutnya ia diletakkan kepada kuasa pemerintah," ujarnya ketika ditemui semalam.

Tegasnya, jika kredibiliti dan kewibawaan akhbar tersebut hilang, maka dengan sendiri akan tersekat penerbitannya kerana sudah tidak mendapat kepercayaan pembaca masa kini yang semakin kritis dan bijak memilih.

Dalam pada itu, Lutfi kesal dengan tindakan Kementerian Dalam Negeri di bawah menteri barunya yang tidak menyambung permit penerbitan akhbar Makkal Osai tanpa memberikan sebarang sebab yang konkrit.

"Bagaimanapun, saya menyokong cadangan Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Syed Hamid Albar yang mahu melonggarkan syarat-syarat permit penerbitan akhbar yang kini wajib diperbaharui setiap tahun," katanya.

Dengan cadangan baru itu, penerbit akhbar hanya perlu memohon lesen sekali sahaja dan permit yang diberikan bawah Akta Penerbitan dan Mesin Cetak tidak perlu diperbaharui setiap tahun seperti amalan kini.

Syed Hamid berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada Kabinet tidak lama lagi. Lutfi menegaskan pemberian lesen secara tahunan hendaklah dihapuskan sama sekali. "Kebebasan bukannya ehsan pemerintah yang hanya diberikan di masa perlu tetapi pada waktu lain akan dikongkong pula," ujarnya.

Beliau yang pernah aktif dalam Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) turut menggesa agar 82 anggota Parlimen Pakatan Rakyat menjadikan isu membebaskan media sebagai agenda utama seperti mana mereka melakukannya untuk "membersihkan" Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Cadangan saya, permit dikeluarkan sekali sahaja dan biar kadar hayat pengeluaran akhbar tersebut ditentukan pembaca. Kalau ada kesalahan, masih banyak kaedah untuk menegur atau menghukumnya, tetapi bukan dengan cara menarik balik atau tidak memperbaharui permit," ujarnya lagi.

PAS juga, tambahnya, akan terus memperjuangkan agar akhbar itu dibenarkan dijual secara bebas, tidak terhad kepada ahli atau diletakkan di bilik-bilik gerakan parti seperti disyaratkan oleh KDN sebelum ini.

"Syarat jualan hanya untuk ahli PAS sudah lapuk, tidak demokratik dan langsung tidak praktikal. Pihak luar akan mentertawakan kita jika mereka tahu syarat-syarat yang KDN kenakan kepada Harakah," tegas Lutfi lagi.

Beliau bersetuju KDN memberikan permit penerbitan kepada akhbar PKR itu walaupun "sudah terlewat tiga tahun" tetapi langkah itu hanya menimbulkan kekeliruan orang ramai selepas Makkal Osai diharamkam.

"Sepatutnya, KDN memulihkan kembali permit Makkal Osai," katanya

Akhbar Harakah kini diterbitkan dua kali sebulan sejak 2000 selepas permit asalnya 'dipancung' KDN, beberapa bulan selepas pilihan raya umum 1999 yang menyaksikan sokongan majoriti pengundi Melayu kepada Barisan Alternatif ekoran peristiwa pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. Jualannya ketika itu melonjak melebihi 300,000 naskah, yang diterbitkan dua kali seminggu.

Namun, penyelaras Suara Rakyat Malaysia (Suaram), John Liu berpendapat usaha untuk merealisasikan kebebasan media di negara ini tidak akan memberikan apa-apa kesan sekiranya kerajaan masih lagi mengekalkan akta-akta yang menghalangnya terutama Akta Penerbitan dan Mesin Cetak (APMC).

Selain tertakluk kepada APMC, akhbar juga terikat dengan sejumlah peraturan lagi misalnya Akta Fitnah, Akta Rahsia Rasmi, Akta Hak Cipta, Akta Keselamatan Dalam Negeri dan Akta Hasutan.

Sebagai entiti perniagaan, syarikat penerbitan juga tertakluk kepada Akta Syarikat yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia, bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Pengerusi lembaga amanah Institut Akhbar Malaysia (MPI), Dato' Azman Ujang dipetik sebagai berkata, biarlah pasaran yang menentukan kelangsungan sesebuah akhbar, bukan lesen kerajaan. Dengan itu imej kerajaan daripada segi ketelusan, integriti juga akan menjadi lebih baik. - mks.
-harakahdaily
P/S Kalau takut cakap ja takut. Bagi permit TV pada kami

No comments: