Monday, April 7, 2008

KERANA TUN?

Beberapa hari kebelakangan ini, ada semacam kecenderungan oleh sebilangan pemimpin Umno untuk menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamed sebagai penyebab Umno dan Barisan Nasional kalah teruk dalam PRU ke-12 yang lalu. Kritikan-kritikan Tun ke atas kepimpinan Pak Lah dikatakan telah menghakis keyakinan sebahagian rakyat, bukan sahaja terhadap Pak Lah tetapi juga terhadap kerajaan yang dipimpinnya. Ia sekaligus menimbulkan kecelaruan, termasuk di kalangan ahli-ahli parti.

Kemudian segala ayam jantan, tekukur, belatuk dan murai dalam Umno itu pun melalut sehingga membanding-bandingkan pula kepimpinan Tun dan kepimpinan Pak Lah. Tun yang lebih autokratik. Tun yang tidak demokratik. Tun yang begitu. Tun yang begini. Semuanya adalah kesinambungan penyakit baru dalam Umno; lari dari tajuk sebenar dan menerawang ke tajuk-tajuk yang lain. Ini juga contoh kecelaruan fikiran pemimpin-pemimpin Umno sekarang.

Sebenarnya, tidak siapa boleh menafikan bahawa kritikan-kritikan Tun turut membawa kesan besar pada Umno dan BN. Tetapi ia tak habis di situ. Jika kita masih ingat dan jika kita masih waras, kita harus mengakui hakikat bahawa yang menjadi punca BUKANLAH kritikan-kritikan itu, tetapi sikap dan tindak tanduk orang-orang yang memberi reaksi balas terhadap kritikan tersebut.

Tatkala memulakan ‘tembakan’ awalnya, Tun mempersoalkan beberapa isu, antaranya pembatalan Jambatan Indah, AP dan Proton. Tetapi yang dia dapat bukannya jawapan, sebaliknya tempelak demi tempelak. Seorang demi seorang, dari Nazeri Aziz, Shahril Samad, Mohamad ‘the few millions dollar man’ Taib, sehinggalah Tun Musa Hitam memberikan reaksi balas yang tidak menggembirakan sesiapa sahaja yang berakal. Mereka mengalih tanggung jawab untuk menjawab dengan menampar muka orang yang bertanya.

Kemudian ada bunyi-bunyi bahawa penjelasan akan dibuat terhadap kritikan-kritikan itu. Tidak. Yang diberikan kemudiannya bukanlah penjelasan sebenar, tetapi kritikan balas yang menghentam mantan Perdana Menteri itu lagi secara habis-habisan.

Sikap seperti itulah sebenarnya yang menjadi sebahagian daripada pencetus rasa tidak puas hati rakyat. Orang melihat betapa hodoh dan bodohnya perangai pembesar-pembesar Umno dalam menangani isu seumpama itu. Rakyat yang tidak buta akan terfikir, kalau teguran dan pertanyaan bekas Perdana Menteri pun tidak lagi dipedulikan, apa lagi teguran orang biasa, orang bawahan yang tiada apa-apa. Kalau bekas Presiden Umno boleh diperlakukan begitu, apa lagi ahli cawangan yang nama dan binnya pun orang tak berapa nak ingat? Kalau dengan seorang tua mereka boleh perlekehkan begitu, apa lagi dengan angkatan dari saloran tiga, empat dan seterusnya?

Akhirnya mereka membuat kesimpulan sendiri; kepimpinan Umno kini menjadi the untouchable. The silent elegance akhirnya akan dilihat sebagai the silent arrogance!
Tun Mahathir bukan maksum. Pengalaman menjadi pemerhati politik sejak lama menyebabkan saya tidak teragak-agak untuk berkata, mantan Perdana Menteri itu memang ada kalanya agak autokratik. Ada masanya dia mengutamakan matlamat daripada cara. Tetapi jangan nafikan yang dia tidak menangani isu dengan cara merapu seperti yang dipraktiskan oleh panglima-panglima Umno sekarang.

Jika timbul satu-satu persoalan, seingat saya, Tun akan menjawabnya tanpa banyak simpang siur. Jika dia mengatakan matahari itu biru, dia akan mempertahankan kenyataannya habis-habisan. Dia tidak akan mengelak dengan menunjuk ke arah bulan, bintang itu dan bintang ini bagi mengalihkan perhatian orang. Dia akan menjawab dan menjawab. Betul atau tidak perkara yang lain, tetapi yang pasti isu itu akan terjawab. Dan dia akan menghujah dengan logik-logiknya sehingga orang yang bertanya itu berhenti, sama ada kerana puas hati atau pun kerana letih untuk terus bertanya.

Semua itu tidak berlaku sekarang. Setiap kali timbul isu, kita diajak oleh panglima-panglima Umno itu untuk melihat ke belakang. Tun dulu begitu...Tun dulu begini...dan isu sebenar tidak berjawab juga!

Saya tidak tahu setakat mana Pak Lah menyedari semua ini. Tetapi kalau dia merenung sebentar dengan mata yang rasional, Pak Lah pasti mengaku bahawa panglima-panglimanya itu lebih banyak membawa mudarat daripada menjadi ubat. Mereka lebih ‘berbahaya’ daripada Tun.

Jika dibiarkan mereka terus bercakap dengan cara mereka, Umno akan menjadi lebih rosak. Mereka akan menjadi seperti tikus yang membaiki labu. Lebih buruk lagi, mereka adalah tikus-tikus yang bukan sahaja sakit, tetapi juga berpenyakit!

Disedut dari :- http://depa-kata.blogspot.com/

Ustaz Samarahan :- Percayalah Pak Lah... bila hang pencen hang akan kena nasib yang sama...

No comments: