Sunday, April 13, 2008

'Peluk Islam tak perlu dimaklum'


KOTA BHARU: Ketika pelbagai pihak menyatakan sokongan terhadap cadangan kerajaan mewajibkan orang bukan Islam yang ingin memeluk Islam supaya terlebih dulu memaklumkannya kepada ahli keluarga, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bagaimanapun mempunyai reaksi berbeza.
Beliau berkata, seseorang yang mahu memeluk Islam perlu mempunyai perasaan inginkan Islam dengan kerelaan sendiri dan bukan paksaan daripada pihak lain atau hanya memeluk Islam selepas mendapat pandangan ahli keluarga. "Dia (bukan Islam) nak masuk Islam, dia masuk... tak payah beritahu (keluarga). Cuma untuk menjaga keharmonian keluarga, beritahu lebih baik. Tapi nak beritahu dulu baru nak masuk Islam itu tak betul kerana Islam datang dari kalbu sendiri.

"Kalau manusia sendiri nak pada sesuatu benda, buat apa cakap pada orang lain. Beritahu tu cuma nak jaga hubungan keluarga takut kecil hati, sekadar itu saja. Tapi, yang penting kecil hati atau tidak, kalau nak masuk (Islam), kena dengan kerelaan sendiri," katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas majlis muhibah mesra kaum, di sini, semalam, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, cadangan kerajaan itu hanyalah berkaitan perkara teknikal, tetapi yang lebih penting keinginan memeluk Islam tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak.
"Itu masalah teknikal (perlu memaklumkan kepada keluarga)... tetapi jangan sampai tak jadi masuk Islam kerana orang tua (ibu bapa) marah. Itu tak betul kerana Islam datang dari iman, iman pula dari hati dan kalbu kita," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, kelmarin, bahawa kerajaan akan memperkenalkan peraturan baru mewajibkan mereka yang ingin memeluk Islam supaya mengisytiharkan perkara itu secara terbuka. Perdana Menteri dilaporkan berkata, tindakan memeluk Islam secara senyap seperti diamalkan sekarang mengundang banyak masalah apabila pihak yang memeluk Islam itu meninggal dunia kerana keluarga tidak mengetahuinya.
Mengulas cadangan penubuhan Majlis Silaturahim Antara Agama (IRGC) oleh kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas di Pulau Pinang, Nik Abdul Aziz menyifatkan cadangan itu dapat meningkatkan kefahaman dan mewujudkan perasaan sangka baik antara kaum. "Cadangan itu boleh mewujudkan muhibah antara kaum supaya tiada salah sangka antara satu sama lain. Kita juga boleh memberi peluang kepada orang lain menyoal hal berkaitan Islam yang mereka tak faham.

"Penubuhan majlis itu untuk berbincang memang boleh, macam kita Melayu, Cina dan India duduk sekali berbincang... tak ada apa masalah," katanya. Semalam, akhbar melaporkan Persatuan Ulama Malaysia Pulau Pinang (PUMPP) meminta kerajaan negeri berhati-hati dengan cadangan penubuhan IRGC bagi mengelak kontroversi.
Yang Dipertua PUMPP, Dr Wan Salim Wan Mohd Noor, dilaporkan berkata penubuhan majlis itu dilihat menyamai cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang mendapat bantahan daripada pelbagai pihak sebelum ini.
Berita Harian.

No comments: