Sunday, April 6, 2008

Kritikan terhadap kepimpinan UMNO tidak akan hancurkan parti - Mahathir

LANGKAWI 6 April — Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kritikannya terhadap kepimpinan Umno tidak akan menghancurkan parti sebaliknya akan menjadikannya lebih kukuh.

“Terpulang kepada mereka hendak mendengar atau sebaliknya,” katanya selepas majlis tahlil untuk allahyarham kakaknya Habsah Mohamad di Surau Ibrahim Mi, Kampung Ranggut Padang Matsirat di sini malam tadi.

Dr Mahathir diminta mengulas kenyataan beberapa menteri kabinet yang juga pemimpin Umno yang menegur beliau supaya jangan keterlaluan mengkritik kepimpinan parti ekoran pencapaian buruk Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum yang lepas.
Antara mereka ialah Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

Hadir sama pada majlis itu ialah isteri beliau, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan anggota Parlimen Langkawi, Datuk Paduka Abu Bakar Taib.

Ketika berucap sebelum itu, Dr Mahathir meminta umat Islam Malaysia supaya bersyukur kerana rakyat dapat hidup aman damai tanpa berlaku perbalahan walaupun mempunyai perbezaan fahaman politik.

Beliau yakin Malaysia akan terus aman yang membolehkan rakyat hidup bahagia tanpa sebarang gangguan.

— BERNAMA

No comments: