Tuesday, April 8, 2008

Petani merungut kos selenggara sawah semakin tinggi

ALOR STAR, 8 April - Harga bahan-bahan untuk pertanian seperti baja dan racun yang didakwa naik secara mendadak kini semakin meresahkan golongan petani di Kedah, negeri jelapang padi negara.

Kos tambahan itu termasuk kos membajak sawah dan penyelenggaraan lain yang turut meningkat itu terpaksa ditanggung petani, menyebabkan mereka tertekan kerana hasil yang peroleh tidak setimpal dengan kos yang terpaksa ditanggung.

"Hasil yang merosot akibat serangan penyakit dan serangga terutama tikus dan siput gondang, memberikan pulangan yang tidak setimpal dengan usaha kami," kata seorang petani Mohd Fauzi Shafie.

Mohd Fauzi, 42, dari Kampung Padang Jambu, dekat sini yang mengusahakan hampir lima hektar sawah, berkata dua tahun lepas harga sebotol racun rumpai empat liter jenama "Thaipun" ialah RM38 tetapi kini ia meningkat kepada RM76.

Beliau berkata baja tambahan yang dibelinya berharga RM70 satu beg seberat 50 kilogram pada tahun lepas, telah meningkat kepada RM110 tahun ini.

"Peningkatan ini sangat ketara dan membebankan petani. Saya harap kerajaan memikirkan cara mengatasi masalah ini... kehidupan kami akan terhimpit," katanya kepada Bernama ketika ditemui, hari Isnin.

Beliau berkata hasil padi yang diperoleh pada musim lepas merosot kira-kira 20 peratus akibat banjir, penyakit dan serangan makhluk perosak.

Seorang petani muda, Mohd Khairul Anuar Md Akhir, 27, berkata kenaikan 100 peratus harga racun dan baja jenama tertentu menyebabkan kos penyelenggaraan yang dahulunya hanya RM300 bagi satu relung, kini meningkat kepada RM600.

Mohd Khairul meminta kerajaan mencari jalan menurunkan harga bahan-bahan input pertanian bagi membela nasib petani.

Beliau berkata peruncit mendakwa terpaksa menjual dengan harga yang tinggi kerana pembekal menaikkan harga.

Mohd Akbarol Yusof, 30, dari Kampung Tanah Seratus, Kuala Kedah yang mengusahakan kira-kira 1.2 hektar sawah, berkata insentif dan subsidi kerajaan terhad dan tidak membekalkan keperluan petani sepenuhnya.

Sebagai contoh, beliau berkata kerajaan tidak membekalkan racun bagi memusnahkan serangga perosak seperti siput gondang emas menyebabkan petani terpaksa membeli racun cap `tengkorak' untuk membunuh mahkluk itu.

Harga racun itu telah meningkat dari RM15 pada musim pertama kepada RM24 mulai musim kedua tahun lepas, katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan sebuah syarikat penjualan racun, Deltat Enterprise Sdn Bhd, Goh Seng Seng berkata kenaikan harga racun tidak dapat dielak kerana pengimport membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan untuk membawa masuk racun dari negara luar.

"Harga racun yang paling murah sekarang ialah jenama 'Parakuat' iaitu RM30 untuk satu botol empat liter dan ia dijangka meningkat kepada RM40 tidak lama lagi," kata Goh.
-- Harakahdaily

No comments: