Monday, April 14, 2008

Anwar belum sedia umum ‘calon laluan’


SHAH ALAM 13 April – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim belum bersedia mengumumkan nama ahli Parlimen dari parti itu yang bakal menarik diri untuk memberi laluan kepadanya bertanding pada pilihan raya kecil selepas larangan yang dikenakan terhadapnya berakhir 14 April ini.

Sebaliknya beliau berkata, perkara itu bukan menjadi keutamaan parti ketika ini kerana masih banyak perkara perlu difikir ekoran kemenangan PKR bersama sekutunya, DAP dan Pas di peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya umum lalu.

Ini kerana katanya, beliau tidak mahu parti itu mengambil pendekatan pentadbiran yang diamal oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang didakwanya mencampurkan politik dengan perniagaan dalam pentadbiran.
“Pada pilihan raya umum lalu, kami (PKR, DAP dan Pas) berjaya memenangi majoriti di lima negeri termasuk di Selangor.

“Oleh yang demikian, masih banyak perkara perlu kami fikir dan kami buat bagi memperkemaskan pentadbiran termasuk program yang akan diadakan kerana kami (PKR) tidak mahu ikut cara BN.

“Bagaimanapun, soal ahli Parlimen yang akan menarik diri untuk memberikan laluan kepada saya, perkara itu akan diumumkan dalam tempoh terdekat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perjumpaan tertutup bersama ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan pemimpin PKR di Hotel Quality, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Ketika ditanya mengenai pandangannya berhubung desakan supaya Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meletak jawatan, beliau berkata, bukan hanya Abdullah sahaja yang perlu berbuat demikian, tetapi juga oleh Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ini kerana katanya, kedua-keduanya (Abdullah dan Najib) adalah orang yang bertanggungjawab mengetuai serta merangka strategi kempen BN ketika pilihan raya umum lalu.

“Kedua-duanya perlu berbuat demikian kerana mereka yang bertanggungjawab terhadap prestasi BN pada pilihan raya umum lalu termasuk pergolakan dalam UMNO sendiri.

“Bagaimanapun bagi ahli UMNO yang tidak puas hati, saya cadangkan supaya mereka menyertai Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Beliau kemudian dengan nada sinis meminta bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya lebih memikirkan tentang kesihatannya sendiri daripada terus mengkritik beliau mengenai isu-isu tertentu.

Anwar juga menyifatkan tindakan Tun itu sebagai satu ‘leteran’ orang tua yang berniat jahat dengan mengaitkannya mempunyai hubungan rapat dengan pelobi Yahudi.
Utusan Malaysia

No comments: