Wednesday, April 9, 2008

Masyarakat Siam lahirkan sokongan pada kerajaan Kedah










ALOR STAR, 9 April (Hrkh) - Masyarakat Siam di Pendang hari ini menunjukkan sokongan padu mereka kepada kerajaan negeri yang baru.

Dalam majlis sempena lawatan kerja ke Daerah Pendang yang diadakan di Wat Siam Paya Mak Insun di sini, Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak menerima borang sokongan daripada wakil-wakil masyarakat Siam.

Mereka terdiri daripada masyarakat Siam Kampung Lampom, Padang Pusing, Titi Akar, Kampung Cina, Padang Peliang, Kamoun Huma, Paya Pak Insun dan Sungai Siput. Turut menyerahkan borang ialah daripada wakil kaum India dan Tionghua.

Lawatan rasmi pertama beliau ke Pendang itu diraikan kira-kira 2,000 hadirin. Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Exco-exco Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Pendang, Dr. Hayati Othman, Pegawai Daerah Pendang,Harun Jasin dan Ketua Sami Kedah-Perlis.

Ustaz Azizan dalam ucapannya melahirkan rasa gembira dengan majlis tersebut dan juga merakamkan penghargaan kepada seluruh rakyat kerana telah berusaha hingga terbentuknya kerajaan yang baru.

"Tahniah kerana kita rakyat Kedah, tidak kira apa kaum telah dapat menyedarkan rakyat bahawa rakyat yang berkuasa. Rakyat telah memilih kerajaan rakyat dan rakyat juga yang akan menjatuhkan kerajaan, kalau kerajaan buat tidak betul," ujar beliau.

Menurutnya di sebalik pelbagai dakwaan-dakwaan yang tersebar hari ini, hakikatnya masyarakat semakin ramai datang menemuinya.

"Tetapi hari ini berduyun-duyun datang bertemu dengan saya. Ada yang datang jumpa 20 minit, ada yang datang jumpa 10 minit, ada yang lima minit, ada yang dua minit sahaja nak salam sahaja, dia nak tengok Menteri Besar yang baru. Saya kata, Menteri Besar yang baru ini dia manusia juga bukan ada tanduk," ujarnya berseloroh.

Selain itu beliau turut melahirkan rasa gembiranya dengan perpaduan yang ditunjukkan pada majlis tersebut.

"Selama ini orang kata yang boleh berpakat ini hanya BN sahaja. Selain daripada BN tidak boleh satukan rakyat. BN kata selain daripada BN tidak boleh memerintah negara kita. Tetapi terima kasih, Alhamdulillah hari ini tanpa BN pun kita boleh satukan rakyat.

"Tuan-tuan dilahirkan di sini walaupun keturunan Siam, walaupun keturunan India dan Cina, ini bumi kita.Kerajaan sekarang tidak akan ugut orang tidak akan gempaq (gertak) orang," katanya sambil disambut tepukan gemuruh hadirin. - mks.

No comments: