Thursday, April 17, 2008

MB Kedah Mahu Temui Perdana Menteri Bincang Kerjasama Negeri - Pusat

ALOR STAR, 16 April (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Azizan Abdul Razak hari ini berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Katanya beliau akan menulis surat secara rasmi bagi mengadakan pertemuan itu mengikut tarikh yang dipersetujui oleh Abdullah.

"Kita mahu jalinkan kerjasama kerana kita menghormati sistem persekutuan negara tanpa mengira perbezaan fahaman politik dan kita mahu berjumpa dengan Perdana Menteri untuk membincangan kerjasama antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini.

Beliau berkata antara perkara yang akan dibincangkan dalam pertemuan dengan Perdana Menteri itu kelak ialah mengenai kerjasama kerajaan pusat dalam pembangunan negeri termasuk industri pelancongan.
Katanya kerajaan negeri kesal dengan tindakan Kementerian Pelancongan yang membatalkan persefahaman bersama (MoU) antara Majlis Tindakan Pelancongan (MTP) dengan kerajaan negeri atas alasan perbezaan dasar dan pendapat.

"Kita mahu Perdana Menteri meneliti perkara-perkara seperti ini bagi mengetahui apakah perbezaan dasar dan pendapat yang dimaksudkan itu", kata beliau.

-- BERNAMA

No comments: