Saturday, April 19, 2008

Muslimat Kedah gesa kerajaan negeri segera laksanakan cuti bersalin 90 hari

YAN, 19 April (Hrkh) - Kerajaan Negeri Kedah digesa melaksanakan segera cuti bersalin 90 hari sebagaimana yang terkandung dalam manifesto Kedah Sejahtera.

Gesaan itu dilahirkan oleh Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah (DMPNK) selepas selesai mengadakan program Brainstorming DMPNK bersama Jawatankuasa Harian Dewan Muslimat PAS Kawasan-kawasan selama dua hari di Kem Kenari Nature Park dekat sini baru-baru ini.

"Di samping cuti bersalin, kami juga menggesa kerajaan negeri melaksanakan segera cuti iddah untuk kakitangan wanita yang kematian suami. Kita rasa ia dapat disegerakan kerana tidak melibatkan belanja," demikian menurut Timbalan Ketua DMPNK, Zakiah Baharom.

Menurut Zakiah lagi, pihaknya juga memohon agar kerajaan negeri dapat mengeluarkan pekeliling untuk kakitangan wanita Islam supaya menutup aurat.

Sementara itu, Bendahari DMPNK, Dr Rahimah Sahit berpendapat kerajaan negeri yang diterajui PAS seharusnya mengambil peluang melaksanakan pekeliling menutup aurat tersebut.
"Ia (menutup aurat) boleh dilaksanakan segera. Dah ada dalam fikiran masyarakat, apabila menyebut PAS, mesti tutup aurat. Dah sinonim," ujarnya.

Mengulas program barainstorming yang dijalankan, Zakiah yang juga pengarah program tersebut turut melahirkan rasa gembiranya dengan semangat yang ditunjukkan oleh peserta untuk bersama membantu kerajaan negeri yang diterajui PAS.

"Kami berasa bertanggung jawab untuk membantu kerajaan negeri khususnya Exco Wanita yang dilantik," jelasnya.

Menurut beliau lagi, program tersebut memberi fokus kepada kebajikan, wanita muda, ibu tunggal dan kemasyarakatan.

"Kita juga mencadangkan kerajaan negeri menaikkan billboard di tempat-tempat awam yakni pusat-pusat rekreasi atau kawasan yang sering berlaku maksiat misalnya dengan kata-kata 'Allah sentiasa memerhati apa yang anda buat'," jelas beliau. - mns

No comments: