Wednesday, April 2, 2008

MB Kedah minta penghulu bekerja secara profesional bukan ikut arahan JKKK


ALOR SETAR,31 Mac (Hrkh)- Menteri Besar Kedah, Ustaz Azizan Abdul Razak menyeru para penghulu di negeri ini menjalankan tugas mereka secara profesional tanpa memikirkan fahaman politik walaupun Kedah kini diterajui oleh PAS.
Katanya, selaku pegawai kerajaan negeri yang lebih hampir dengan rakyat, para penghulu diminta tidak bekerja untuk ahli politik tetapi bekerja dengan untuk rakyat.

"Tuan-tuan jangan takut dan bimbang dengan kerajaan negeri yang baru walaupun berbeza parti politik. Itu hak masing-masing yang telah ditetapkan mengikut perlembagaan negara.

"Yang pentingnya kita berusaha untuk memantapkan pentadbiran, kita bekerja sebagai pegawai kerajaan negeri mengikut profesionalisme masing-masing. Kerjasama dengan kerajaan bukan dengan saya," katanya.

Justeru katanya, kerajaan negeri akan memperkasakan tugas penghulu yang kini dilihat agak terkebelakang berbanding peranan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

"Dulu JKKK berperanan menolong penghulu tetapi akhirnya penghulu lepas ke tepi. JKKK dari lantikan politik ini nampaknya lebih berkuasa dari penghulu.

"Jadi kita akan memperkasakan semula para penghulu dan adakan dikembalikan semula peranan mereka ke landasannya," ujarnya dalam majlis pertemuan dengan para penghulu seluruh negeri Kedah.

Terdahulu, dalam ucapan aluannya, Pengerusi Persatuan Penghulu dan Penggawa Malaysia Cawangan Kedah, Md Fuad Zainol Abidin menyatakan sokongan para penghulu kepada pimpinan kerajaan negeri yang baru.

"Kami berharap agar kerjasama yang erat diteruskan antara YAB Menteri Besar dengan para penghulu untuk menjadikan negeri Kedah lebih sejahtera," katanya.

Majlis perjumpaan dengan penghulu dari seluruh negeri Kedah ini diadakan di Seri Mentaloon, kediaman rasmi Menteri Besar dekat sini semalam.

Ustaz Azizan yang ditemui pemberita kemudiannya menyokong kenyataan bekas Menteri Besar Dato' Seri Mahdzir Khalid agar JKKK meletakkan jawatan dengan segera.

"Kita bukan nak pecat mereka, tapi kalau mereka tak mahu terima jawatan, kita boleh lantik JKKK baru dan senang kita nak terus buat kerja" katanya. -

-Harakahdaily-
admin:- hari ni UMNO suruh depa semua letak jaeatabn...baguslah...letak jawatan..

No comments: