Tuesday, March 18, 2008

Semangat Tuan Guru...


KOTA BHARU, 18 Mac (Hrkh) - Setelah berjaya melepasi tahap genting pada penggal lalu, kini kerajaan Kelantan kembali mantap dengan barisan Exco yang dianggap lebih bertenaga.

Malah pihak lawan sebelum ini melabelkan kerajaan PAS Kelantan menang dengan kelebihan dua undi iaitu di Dun Kemuning. Namun sekarang majoriti yang paling kecil iaitu 323 undi di Dun Gaal.

Sedangkan apa yang berlaku di peringkat pusat pula kabinet baru Dato? Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak mencerminkan kehendak rakyat apabila pemimpin yang bertanding dilantik menganggotai kabinetnya.

Di Kelantan portfolio bagi anggota Exco kerajaan negeri bagi penggal ini akan diumumkan esok selepas mesyuarat Exco pertama setelah PAS dan KeADILan menang dengan lebih selesa pada pilihan raya umum ke-12, 8 Mac lalu.
Hari ini senarai tersebut akan disahkan pada mesyuarat Dewan Harian Badan Perhubungan PAS Negeri. Menteri Besar, Tuan Guru Dato? Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, senarai portfolio sudah siap dan ia telah ditentukan kepada anggota Exco terbabit.

"Senarai nama-nama Exco yang menerajui portfolio masing-masing sudah siap, tetapi kita tidak umumkan lagi kerana ia perlu disahkan dalam mesyuarat Dewan Harian PAS dan Exco Rabu ini. Hari Rabu ini (esok) baru boleh diumumkan kepada para wartawan", ujarnya ketika ditemui di sini.

Bagaimanapun beliau mengakui berlaku sedikit perubahan dalam portfolio terbabit. Manakala tiga anggota Exco yang baru dilantik iaitu Wan Ubaidah Omar (Adun Kijang), Dr Mohd Fadzli Hassan (Temangan) dan Che Abdullah Mat Nawi (Wakaf Bharu) mulai memasuki pejabat masing-masing di Kota Darulnaim pagi tadi.

Mereka menggantikan tiga Exco yang tidak dilantik semula pada penggal ini. Difahamkan tidak berlaku perubahan besar pada portfolio Exco, di mana Menteri Besar dikatakan kekal mempengerusikan Jawatankuasa Tanah, Perhutanan dan Sumber Asli. Timbalan Menteri Besar, Dato Ahmad Yakob dijangka mengekalkan jawatankuasa Pembangunan Tanah dan Wilayah.
Jawatankuasa Perancangan, Ekonomi dan Pembangunan Masyarakat difahamkan masih diketuai Dato Husam Musa.

Dato Anuar Tan Abdullah pula dikatakan kekal menerajui jawatankuasa Perpaduan Masyarakat dan diganding dengan portfolio Perdagangan dan Perindustrian. Ustaz Mohd Amar Abdullah difahamkan kekal mengetui jawatankuasa Pendidikan, namun ada penambahan baru iaitu Pembangunan Islam dan Dakwah.

Dato Takiyuddin Hassan dijangka kekal di portfolio Kerajaan Tempatan, di samping pertambahan jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan. Difahamkan juga Mejar (B) Md Anizam Abdul Rahman pula mengekalkan jawatankuasa lama iaitu Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar serta mendapat tambahan portfolio Perumahan.

Begitu juga Abdul Fattah Mahmood dijangka mengekalkan Jawatankuasa Belia, Sukan dan Hal Ehwal NGO serta tambahan jawatankuasa baru iaitu Pembangunan Akhlak. Anggota Exco baru iaitu Dr Fadzli dijangka menerajui Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Che Abdullah pula difahamkan bakal mengetuai Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa, Bioteknologi dan Sumber Manusia.

Manakala jawatankuasa Pembangunan Wanita, Komuniti dan Kesihatan dijangka dipengerusikan anggota Exco tunggal wanita, Wan Ubaidah. Sementara itu dalam perkembangan lain difahamkan majlis angkat sumpah Adun Kelantan akan diadakan pada Mei depan memandangkan akhir bulan ini rakyat menyambut ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan.

No comments: