Sunday, March 9, 2008

Kini Waktu telahpun berterus terang..


PERDANA Menteri boleh berkata dan boleh mendakwa bahawa tiada siapa yang menekan dia untuk meletakkan jawatan atau boleh menekannya untuk meletakkan jawatan.Laporan itu mungkin dan mungkin tidak mewakili sentimen atau kenyataan sebenar Perdana Menteri. Dan ia tidaklah penting. Yang penting ialah wajib ada seorang yang menerima dan memikul tanggungjawab ke atas prestasi buruk BN semalam.Siapakah orang itu jika bukan Perdana Menteri? Bukankah dia orang yang sehingga saat-saat akhir kempen begitu yakin bahawa BN akan mencatat kemenangan cemerlang dan mempertahankan majoriti dua-pertiga di Parlimen.Apakah undi rakyat yang begitu teruk menghukum Perdana Menteri dan partinya belum cukup untuk membuatkan dia menerima sepenuh tanggungjawab dan menetakkan jawatan kerana kepemimpinannya tidak lagi diyakini?
Kalau pada PRU 2004 dia begitu gembira dan angkuh menyatakan bahawa kerana dialah BN menang besar, kenapa kali ini dia begitu keberatan mengakui bahawa kerana dia jugalah BN menderita teruk?Seperti kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dalam sidang akhbarnya pagi tadi, tiada pilihan lain bagi Perdana Menteri kecuali memikul tanggungjawab terhadap prestasi buruk BN dan berundur.Seperti jutaan pengundi yang tidak berselindung-selindung lagi menolak BN, Perdana Menteri juga tidak boleh lagi berdolak-dalik dan berselindung di sebalik pelbagai alasan.
Prestasi BN kali ini adalah jauh lebih teruk daripada prestasi Perikatan pada tahun 1969. Rentetan kekalahan itu, Perdana Menteri dan Presiden Umno ketika itu, Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra, menyerahkan kuasa kepada timbalannya dan akhir bersara. Contoh dan teladan sudah ada.Sesudah pengundi Malaysia membuat kata putus dengan memberi kejutan voltan tinggi kepada Barisan Nasional adalah tidak tetap dan tidak wajar lagi bagi sesiapa pun berselindung-selindung dan teragak-agak.Realitinya BN kehilangan banyak kerusi Parlimen, terlepas kawalan ke atas Pulau Pinang, Kedah, Selangor dan Perak serta ketewasan beberapa tokoh berprofil tingginya, termasuk tiga orang menteri.
BN ditolak kerana ia dilihat sebagai tidak cekap dan tidak sensitif kepada kehendak rakyat tetapi pada masa yang sama bongkak, mungkir janji, mengamalkan pilih kasih dan gagal menangani isu-isu massa seperti kenaikan harga barang dan kadar jenayah.
Kerana dinasihati oleh anggota “kabinet dapur” yang jahil tetapi bongkah serta rakus – mereka yang digelar 3K, JKKK dan Budak Tingkat Empat -- dan menyisihkan jentera serta veteran parti, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN sering tersilap membuat perkiraan.Kepemimpinan kerajaan dan parti dilihat sebagai mempersendakan suara dan aspirasi rakyat dengan membuat kenyataan-kenyataan yang menyinggung perasaan yang kemudiannya dihebahkan secara meluas oleh media massa arus perdana yang pro-pemerintah.Misalnya:
1. Perdana Menteri, pada hari penamaan calon, menyifatkan pakatan pilihan raya pembangkang sebagai “syok-syok sahaja”;
2. Perdana Menteri yang mencabar penunjuk perasaan supaya menggunakan peti undi sebagai tempat mutakhir menunjuk perasaan;
3. Menteri Kerja Raya yang mengatakan dia sedia berhenti jika rakyat jelata tidak mahukan dia lagi. Dia terus bertanding dan rakyat menyahut seruannya dengan mengundi pembangkang. Maka kecundanglah dia pada hari jadinya yang ke-72
4. Menteri Penerangan (yang kalah di Sungai Petani) yang menyifatkan para blogger sebagai “syok sendiri.
5. Dia juga “bersumpah” akan memastikan lawannya hilang wang pertaruhan. Lawanya tidak hilang wang pertaruhan sebaliknya dia yang hilang kerusi.
6. Timbalan Ketua Pemuda (yang menang di Rembau) yang berkata tugasnya adalah memporak-perandakan pembangkang. Malangnya yang berlaku adalah di sebaliknya. Pembangkang memporak-perandakan BN.
Sekali pun benar bahawa keperibadian, gaya, kaedah serta prestasi Perdana Menteri menjadi pertikaian, faktor yang benar-benar menyebabkan pentadbiran beliau menjadi begitu tidak popular adalah persepsi mengenai kesombongan dan keangkuhan segelintir kecil manusia di sekelilingnya.
Dalam tempoh kerjaya kewartawanan saya selama hampir 40 tahun, saya tidak pernah melihat sekumpulan orang di sekeliling seorang Perdana Menteri yang begitu dicurigai dan dibenci tetapi pada masa yang sama sangat ditakuti.Hasil mengejutkan keputusan pilihan raya ini tidak dapat tidak akan mencetuskan tanda tanya mengenai kewibawaan, integriti serta kesahihan kedudukan Perdana Menteri sebagai ketua kerajaan dan Presiden Umno.Apatah lagi banyak calon yang dikaitkan terus dengan Perdana Menteri dan “kabinet dapurnya” seperti Azim Zabidi (Bukit Gantang), Osman Desa (Sik), Zainuddin Maidin (Sungai Petani), Annuar Musa (Ketereh) dan Awang Adek Hussin (Bachok) kecundang.
Di pihak pembangkang pula, tindak-tanduk mereka akan diperhatikan dan dinilai bagi memastikan sama ada mereka juga akan menjadi sombong, angkuh dan pendendam kerana kuasa.Atau mereka menjadi pemegang amanah yang berhemah, merendah diri, sederhana dan bertimbang rasa.Dan apakah dasar-dasar dan program-program mereka lebih baik daripada BN.

No comments: