PUSINGAN kedua, Piala FA dibuka dengan nostalgia final 1990 dan 1991 yang membabitkan dua musuh tradisi, Perak dan Selangor dijelmakan semula dalam pertemuan dramatik yang berkesudahan seri 4-4 di Stadium Perak, malam tadi. Selangor, juara 1991 nyata bermula garang dengan gandingan penyerang, Safee Sali dan Elie Aiboy menghukum kegoyahan pertahanan Perak yang belum kebah dibelasah pasukan Tentera Singapura 1-6 pada saingan Piala AFC di stadium yang sama, apabila masing-masing menjaringkan gol pendahuluan pada minit ke-12 dan 32. Babak separuh masa kedua menyaksikan anak buah Steve Darby, bangkit dengan kapten Perak, Ahmad Shahrul Azhar, merapatkan jurang menerusi jaringan pada minit ke-52, sebelum bekas penyerang Perak, Frank Seator menjadikan kedudukan 3-1 minit ke-57.
Safee sekali lagi membolosi gawang Mohamad Hamsani Ahmad minit ke-59 tetapi hatrik Mohd Razali Omar Kandasamy dalam tempoh enam minit (m60, m63, m66) membolehkan juara edisi pertama pada 1990 menarik nafas lega dan mengelak daripada terus diaibkan.
l Di Stadium Darulaman, juara bertahan, Kedah dilihat membuka laluan selesa ke pusingan ketiga apabila membelasah Sarawak 3-0. Tuan rumah mendahului pada babak pertama apabila gol sulung diledakkan pada minit ke-43 hasil umpanan cantik Fauzi Shaari dari sebelah kiri pintu gol Sarawak yang dikuis masuk Shaffiq Jamal dengan mudah menewaskan penjaga gol pelawat, Mohd Firdaus Ishak.
Kedah memperoleh gol kedua selepas cubaan kencang Badrol Bakhtiar pada minit ke-45 muntah daripada tangkapan Firdaus sebelum pemain pertahanan pelawat, Sylla Mansa tertolak ke dalam gol sendiri dengan Marlon Alex James menghadiahkan gol ketiga seminit sebelum wisel penamat.
l Di Stadium Sultan Ismail, Terengganu terpaksa menunggu sehingga minit ke-61 apabila Md Norfarhan Mohamad mudah menolak bola masuk ke gawang menewaskan penjaga gol Negeri, Md Farizal Harun pada minit ke-61 bagi kemenangan 1-0 ke atas Negeri Sembilan.
l Di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Polis menang 2-1 ke atas Sabah manakala Proton membawa bekalan satu gol menerusi kemenangan 3-2 ke atas Melaka di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya. Fairus Aziz membuka jaringan untuk Proton disusuli Ashadi Yusuf empat minit kemudian dengan Mohd Faizal Mansor menambah jaringan ketiga pada minit ke-49. Dua gol Melaka diledakkan Kofi Estiba pada masa kecederaan babak pertama dan penalti pada minit ke-69.
l Di Stadium KLFA, Kuala Lumpur menundukkan Felda United 5-2 dalam pertemuan sesama pasukan dari Liga Perdana. Fabio Alexander meledakkan hatrik (m-44,49,55) dengan dua lagi gol Felda United disumbangkan Badrol Afzan (m-28) dan Ahmad Nurfaizal (m-68). Kuala Lumpur membalas menerusi Impraim Godfred (m-47) dan Mohd Zamri Hassan (m-77).
l Di Stadium Darulmakmur, Pahang sekadar mampu seri 0-0 dengan pasukan ‘giant killer’, KL Plus di halaman sendiri selepas mensia-siakan peluang memburu kemenangan penting.
l Di Stadium Sultan Mohd IV, Mouhamadou Mustapha meneruskan prestasi cemerlangnya di depan gol untuk membantu Kelantan menang 2-0 ke atas PKNS dalam perlawanan tunggal Liga Perdana malam tadi. Penyerang Senegal itu menanduk masuk pada minit kelapan dan menyepak lencong minit ke-56 untuk menjulang Kelantan ke tempat ketiga.
Disedut dari berita harian..
No comments:
Post a Comment