Saturday, March 22, 2008

Rusia serah kereta perisai tanpa meriam kepada Palestin


BAITULMAQDIS 22 Mac – Rusia semalam bersetuju dengan syarat-syarat Israel berhubung penyerahan kereta berperisai kepada pasukan keselamatan Palestin di bawah pentadbiran Presiden Mahmoud Abbas.

Israel pada November lalu bersetuju membenarkan kerajaan Palestin menerima 50 kereta perisai ringan Rusia tetapi tuntutan Palestin supaya kenderaan berkenaan dilengkapi meriam di atasnya telah mencetuskan pertikaian.

Pegawai Israel semalam berkata, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov memaklumkan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert semasa pertemuan mereka kelmarin bahawa Rusia bersetuju menyerahkan kenderaan tersebut tanpa meriam.

Bagaimanapun, belum jelas bilakah kereta berperisai itu akan diserahkan kepada pasukan keselamatan Mahmoud.
Israel telah mempersetujui penyerahan 25 kereta berperisai pada peringkat awal dan meluluskan penyerahan 25 buah lagi jika pasukan keselamatan Mahmoud mencapai kemajuan dalam meningkatkan kawalan keselamatan di Tebing Barat.

Kenderaan berkenaan ditawarkan oleh Rusia kepada kerajaan Palestin beberapa tahun lalu tetapi penyerahannya tertangguh selepas pergerakan Hamas memenangi pilihan raya pada Januari 2006.

No comments: