Sunday, March 16, 2008

berjalan di bumi hijau


Salam Kamunting,


Tahun 2008 adalah tahun menang dan menang. Allah mengurniakan sesuatu yang kita tidak pernah jangkakan. Dia memberi kita melebihi apa yang kita harapkan daripadaNya. Apabila Dia mahu memberi, Dia tidak perlu merujuk kepada apa yang kita minta. Dia adalah Tuhan dengan kehendakNya yang bebas dan penuh kuasa.


Kemenangan adalah daripada Allah. Kemenangan Islam adalah demi hidayat dan taufik untuk manusia. Ia bukan kemenangan duniawi yang sementara dan penuh tipu daya iblis, bahkan ia adalah kemenangan yang benar dan hakiki. Di dunia kita gembira dan di akhirat kita bergembira. Tiada kemenangan kecuali kemenangan Islam dan tiada kehidupan kecuali kehidupan akhirat.


Sahabat dari negeri Kedah menjemput saya bertandang ke negeri Kedah. Begitulah sahabat dari negeri Perak, apatah negeri Selangor Darul Ihsan yang di tengahnya adalah Wilayah Persekutuan yang menjadi jantung Malaysia. Di tanah kontang merekah itu, sudah ada oasis yang ditemui. Ia wahah yang subur dan nyaman.


Berjalanlah ke bumi Johor. Bukan hanya sahabat - sahabat di Johor yang menikmatinya, bahkan saya masih tercengang - cengang dengan keputusan yang dipersembahkan rakyat Johor untuk seluruh rakyat Malaysia. Jika saya sampai di sana, saya tidak mahu berceramah dan berkuliah dahulu. Saya hanya mahu mencium tangan orang Johor. Tahniah, hanya itu yang saya mahu lafazkan untuk rakyat yang berani mengubah persepsi, budaya dan adat lapuk demi Islam tercinta.


Saya hanya mengenali Paroi kerana di situ ada stadium tempat pasukan bola sepak Kelantan berkunjung menentang pasukan Negeri Sembilan dalam liga bola sepak Malaysia. Hari ini, sahabat saya YB Mohamad Taufek bin Abdul Ghani pasti menjemput saya untuk melaung kalimah takbir kemenangan di stadium itu. Tahniah orang Negeri Sembilan. Anda mengejutkan yang sedar dan yang tidur. Khairi terkejut beruk ( monyet )!


Dari bumi Kelantan yang kembali dengan seribu kekuatan sampailah ke bumi Johor yang mencipta kejutan, berjalanlah anda di bumi hijau tuhan. Allah mengurniakan kegembiraan buat seluruh pejuang dan pencinta Islam di seluruh dunia.


Apabila datang pertolongan dan kemenangan daripada Allah, lalu engkau menyaksikan manusia berbondongan datang kepada ugama Tuhan, maka bertasbihlah kepada Tuhan dengan menyucikan dan memujiNya serta pohonlah keampunan daripadaNya.


Kegembiraan mestilah dengan bersyukur kepadaNya. Bersyukur adalah dengan kembali mengingatiNya. Ingatlah Allah, Allah akan mengingati kita.Jangan pendekkan kegembiraan dan kemenangan ini dengan leka dan lalai daripada mengingatinya.


Marilah kita memperbanyakkan tasbih, tahmid dan istighfar.
Teruskan bertakbir.. Allahu Akbar!

No comments: