Sunday, March 9, 2008

Bukan Sekadar Signal....


Saya tak suka mengatakan Pak Lah lemah. Tak sesuai dan tak betul. Kalau dia lemah, tentu Pak Lah tak mampu naik sampai ke kedudukan sekarang. Laluan politik Pak Lah pun bukan mudah. Banyak ranjau dan durinya. Pernah naik, pernah jatuh, pernah terguling. Tetapi kerana dia tidak lemah, Pak Lah bangkit semula.

Lagi pun, Allah itu Maha Adil. Sebab itu selemah mana pun seseorang itu di mata manusia lain, dia tetap dibekalkan dengan kekuatan-kekuatannya yang tersendiri.

Sebab itu jugalah saya lebih suka menganggap Pak Lah alpa bukannya Pak Lah lemah. Pak Lah, bagi saya, adalah orang kuat yang alpa.Saya melihat kealpaan awal Pak Lah bermula apabila dia lupa pada satu kenyataan yang pernah dibuatnya sendiri. Dalam akhbar The Star, sehari dua selepas melayakkan dirinya untuk menjadi ‘saya Perdana Menteri’ (meminjam frasa yang kerap digunakan oleh blogger Sang Kelembai), Pak Lah pernah membuat kenyataan yang menyifatkan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir (TDM) telah menyediakan hardware yang cukup banyak dan elok, dan dia sebagai penggantinya akan bertindak mencipta dan memasukkan software yang sesuai.

Lama kemudian, disebabkan alpa dan lupanya, Pak Lah mula mengkritik apa yang pernah dibuat oleh TDM. Dia mula menghentam segala hardware yang pernah dipujinya dahulu. Segala apa yang dahulunya baik kini dianggap, secara halusnya, sebagai menghabiskan duit.

Apa juga niat Pak Lah, mereka yang melihat dengan teliti akan mendapati kritikan-kritikan itu digerakkan oleh dua perkara; keinginan yang amat sangat untuk keluar daripada bayang-bayang TDM dan untuk mencipta imej sendiri bagi menyaingi kehebatan TDM yang diakui hatta di arena antarabangsa.

Di sinilah Pak Lah sekali lagi alpa. Dia lupa pada diri dan wataknya yang diterima umum sejak sekian lama, tetapi cuba membina watak dan imej baru semata-mata untuk kelihatan sehebat, atau lebih hebat daripada Mahathir.

Kealpaan lain yang menyusul selepas itu ialah apabila dia sanggup menyeberangi Tambak Johor untuk bermain golf dengan pemimpin besar Singapura. Kalau pun ada sesiapa yang membisikkan kepadanya bahawa itulah cara terbaik untuk menunjukkan bezanya dia dengan Mahathir, yang terkenal kerana tidak pernah mahu memberi muka kepada Singapura, Pak Lah sebenarnya lupa bahawa dalam banyak perkara, rakyat berkongsi sentimen dengan Mahathir. Curiga mereka terhadap Singapura tidak pernah berkurang sejak dahulu sehingga sekarang. Jadi apabila kealpaannya membawa Pak Lah ke sana, dia dengan sendirinya turut dicurigai.

Tetapi entah dengan nasihat siapa, Pak Lah jarang peduli pada apa juga tanggapan orang. Mahathir pun sememangnya suka bertindak mengikut caranya, tetapi dia jarang tidak menjelaskan pada orang apa yang dia lakukan. Bila ditanya, dia akan menjawab. Dia akan memberikan penjelasan dengan segala macam rasional yang menyokong tindakannya. Dia tidak mendiamkan diri atau sekadar memberi jawapan sekadar seadanya.

Sejak itu Pak Lah tidak menoleh ke belakang lagi. Dia melangkah terus dengan segala kealpaannya. Kerana alpanya dia membiarkan diri dikelilingi oleh orang-orang yang kemudiannya menyebabkan dia mengalami kejutan demi kejutan sehingga meningkatkan darjah kealpaan yang sedia ada.

Saya tidak mahu bercerita tentang Kalimullah Hassan, budak-budak tingkat empat, Patrick yang ditambah hujung namanya dengan Badawi oleh TDM, atau sesiapa sahaja. Saya tidak mahu juga menyentuh tentang projek-projek mega warisan TDM yang sekejap batal, sekejap tidak. Tak perlu juga rasanya saya mengulas tentang segala apa yang TDM atau sesesiapa sahaja kata terhadap Pak Lah. Tentang WPI, NCER dan segala macam yang lain pun tak payahlah disebut-ulang. Telah terlalu banyak orang bercakap mengenainya. Saya hanya mahu menyentuh tentang alpanya. Itu sahaja.

Kerana alpanya Pak Lah sering dilihat tertidur di dalam majlis-majlis rasmi. Kerana alpanya muncul gambar dia menyentuh bahu Michelle Yeoh. Kerana alpanya Pak Lah memilih untuk tidak menegur hasrat menantunya Khairy Jamaluddin untuk bertanding jawatan Naib Ketua Pergerakan Pemuda. Kerana alpanya Pak Lah sering terpesona dengan kejayaan sendiri dalam PRU ke-11 di mana BN mendapat mandat yang cukup besar. Kerana alpanya jugalah Pak Lah terpaksa menepuk dahi bila keputusan PRU ke-12 diumumkan...

No comments: