Saturday, March 22, 2008

Sampai masanya derhaka lagi - Dr M

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Hrkh) - Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui bahawa beliau berjumpa dengan ramai anggota Umno yang tidak puas hati dengan kepimpinan parti itu.

"Bila saya meminta (Perdana Menteri yang dituntut berundur, Datuk Seri) Abdullah (Ahmad Badawi) meletak jawatan, tiada siapa menyahutnya tetapi dibelakang, ada antara mereka berjumpa saya dan mengatakan sebaliknya!" seorang blogger Umno, The "thirteen million plus Ringgit" guy memetik beliau sebagai berkata.

Keadaan itu berlaku, katanya, kerana rasa takut untuk menyuarakan pendapat di kalangan anggota parti amat amat jelas.
Sebab itulah, ketika beliau menggesa Abdullah meletakkan jawatan berikutan kekalahan teruk Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu, tiada seorangpun anggota Umno yang berani menyokongnya.

"Pemimpin Umno masih lagi kata, 'Kami sokong kepimpinan'," kata bekas Presiden Umno itu ketika menekankan suasana takut kepada pemimpin (climate of fear) yang kini memenjarakan Umno.

Dr Mahathir mengingatkan orang-orang Melayu bahawa sudah sampai masanya menderhaka kepimpinan yang ada sekarang.

Beliau memberi tafsiran sejarah bahawa orang Melayu pada masa silam amat taat dan tidak menderhaka kepada Raja dan akibatnya, orang Melayu terjajah selama 450 tahun. Hanya pada tahun 1946, orang Melayu berani bangkit, menderhaka dan menyuarakan rasa tidak puas hati mereka. Hasilnya, kata beliau, orang Melayu berjaya membebaskan diri dari belengu penjajahan.
Mungkin masanya amat sesuai bagi orang Melayu menderhaka kembali, untuk mengembalikan hak mereka, blogger Umno itu memetik beliau.

Apabila ditanya adakah tindakan mencabar kepimpinan di dalam Umno akan mengundang perpecahan, Dr Mahathir berkata: "Umno masa saya pun biasa berpecah. Dua kali. Sekali Tengku Razaleigh (Hamzah) cabar saya dan sekali lagi kes (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim).
"Namun Umno berjaya dipulihkan dan orang Melayu kembali bersatu, dalam masa terdekat. Lihat bagaimana Umno begitu kuat dalam tahun 2004?.

Dr Mahathir juga mencadangkan konsep 'Majlis Presiden' yang menjadi badan penasihat rasmi dalaman Umno untuk memberikan pandangan dan teguran strategik kepada seorang presiden parti itu.

"Kita tidak boleh mengamanahkan terlalu banyak kuasa pada satu orang".

Apabila ditanya adakah 'Tingkat Empat' kini bertindak sebagai 'Majlis Presiden Umno', dengan sinis beliau berkata: "Mereka diturunkan oleh malaikat (created by angel)".

Menjawab pandangan agar penggal kepimpinan dihadkan, beliau menjawab: "Mungkin ianya bagus dan perlu dikaji. Tetapi ianya tiada makna sekiranya Presiden Umno dihadkan tempoh dan dalam tempoh masa itu, ?mengatur? agar menantunya akan mengambil alih sebagai Presiden selepas itu".

Mengenai ketiadaan wakil Wanita Umno dalam kabinet, Bernama melaporkan beliau berkata, mereka sepatutnya memprotes tetapi beliau mendengar pemberontakan itu hanya sekerat jalan sahaja dan selepas itu kata, saya sokong.

Ditanya mengenai ada cubaan membeli anggota Parlimen dari BN untuk menyertai pembangkang, beliau secara sinis berkata ia berlaku pada kedua-dua pihak dan `ia sangat demokratik.

Beliau juga beliau menyokong cadangan anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah supaya Umno mengadakan mesyuarat agung luarbiasa pada 11 Mei depan.
Beliau berkata mesyuarat agung luarbiasa itu perlu diadakan bagi membincangkan sebab-sebab mengapa BN yang diterajui Umno hilang majoriti dua pertiga dan mengalami kekalahan di lima buah negeri pada pilihan raya umum lepas.

Ditanya sama ada beliau menyokong hasrat Tengku Razaleigh bertanding jawatan Presiden Umno bagi memulihkan parti itu, beliau berkata soal siapa mahu bertanding sepatutnya dibincangkan selepas mesyuarat agung luar biasa tersebut.

Dr Mahathir berkata: ?Mungkin ada orang lain juga berminat nak jadi presiden, jadi kena beri peluang kepada semua orang. Bukan soal presiden, soalnya Umno. Apa yang kita lihat pada pilihan raya lepas ramai anggota Umno telah mengundi parti lawan".

Disedut dari :- http://www.harakahdaily.net/

No comments: