Oleh Maulana Purnama
Puad Zakarshi, ahli parlimen dari Batu Pahat menyatakan dalam satu forum di Universiti Utara Malaysia beberapa hari lalu bahawa kemenangan parti pembangkang 8 Mac lalu hanya sementara. Dalam pilihan raya ke-13 akan datang, Barisan Nasional (BN) akan merampas balik negeri-negeri yang terlepas: Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang.
Ia seperti BN merampas semula Terengganu pada tahun 2004. Banyak pihak, sama ada dalam BN mahupun luar juga mempercayai perkara ini. Iaitu kalau tidak dapat ramapas kembali mungkin Pulau Pinang. Tetapi umumnya yakin Selangor, Perak dan Kedah dapat dirampas dalam pilihan raya ke-13 kelak. Sebusuk-busuknya Selangor akan dapat dirampas.
Sentimen ini juga dinyatakan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Khir Toyo, Pengerusi Badan Perhubungan Selangor yang baru, Muhamad Muhd Taib, dean juga Setiausaha Agung UMNO yang baru, Tengku Adnan Mansor.Melihat perangai pengundi yang berayun-ayun, maka pilihan raya ke-13 akan memihak kepada BN.Maka adalah lebih dipercayai BN boileh mendapat semula majority dua pertiga dan merampas semula negeri-negeri yang terlepas, kecuali mungkin Pulau Pinang. Kalau melihat sejarah, selepas tahun 1969, iaitu setelah kehilangan majoriti dua pertiga melalui pilihan raya umum itu, UMNO melalui gabungan baru kembali berjaya memperolehinya.
Cuma diharapkan bahawa dalam pilihan raya umum ke-14, ayunan pengundi akan kembali ke pembangkang, maka pada masa itu barulah BN betul-betul dapat ditumbangkan dan barisan rakyat memerintah negara ini. Itulah pandangan penulis ini untuk tidak terlalu mengharap-harapkan. Makannya anggaran penulis tentang kejayaan masa depan barisan pembangkang adalah konservatif.
Kalau dalam pilihan raya umum, penulis menjangka bahawa hanya Pulau Pinang akan jatuh tetapi hasilnya adalah jauh daripada dugaan. Siapa dapat menyangka Selangor, Perak dan Kedah boleh tumbang. Daim Zainuddin yang membuat ramalan pada tahun lalu hanya menyebut Selangor, Pulau Pinang dan Kedah. Perak tidak disebut.
Tetapi sudah tentu pemimpin UMNO dan BN mengharapkan dan percaya bahawa fenomena 8 Mac itu hanyalah sementara. Tetapi dalam dunia politik, banyak perkara yang di luar jangkaan penganalisis. Siapa sangka Soviet akan tumbang? Dan melihat parti-parti politik di seluruh dunia, tidak ada siapa yang dapat bertahan lama. Malah satu hari Parti Komunis China juga akan tumbang. Rusuhan di Tibet sudah memperlihatkan petanda.
Puad Zakarshi memulakan kegiatan awal politiknya dalam PAS. Aktiviti PAS beliau adalah bersama Saifuddin Nasution. Kemudian bersama anak-anak muda yang lain mengikut jejak Nakhaie Ahmad, ketika itu, iaitu tahun-tahun lewat 80-an menyertai UMNO. Mereka menyertai UMNO melalui sokongan daripada Allahyarham Ghafar Baba, ketika itu Timbalan Presiden UMNO.
Semasa dalam PAS, Nakhaie Ahmad adalah antara pemimpin utama parti bersama Fadzil Nor dan Hadi Awang melancarkan gerakan menyingkirkan Datuk Asri Muda daripada kepimpinan parti. Setelah mereka berjaya menerapkan kepimpinan ulama, ucapan dasar penting yang disampaikann oleh Yang Dipertua PAS ketika itu, iaitu Allahyarham Yusof Rawa berjudul Tajdid Hadhari. Draf asal ucapan itu disediakan Nakhaie. Tajdid bermakna Reformasi. Sementara Hadhari bermakna Tamadun. Besar gagasan PAS. Dari segi politik, ia diterjemahkan dalam bentuk Harakah Keadilan Rakyat (HAK), gabungan parti pembangkang untuk hadapi pilihan raya umum tahun 1986.
Selepas PAS dan HAK kecundang, pihak pembangkang termangu-mangu melihat masa depan yang kabur. Tetapi apabila melihat ke belakang, gagasan Tajdid Hadhari dan HAK inilah yang akhirnya merintis kepada kemenangan Barisan Rakyat hari ini.
Selepas 1986, beberapa aktivis muda PAS mula mencari jalan lain untuik menyumbang bakti terhadap perjuangan pembangkang. Antaranya Shabery Cheek yang juga memulakan aktiviti politiknya melalui PAS telah meninggalkan parti itu dan menumpukan perhatian dalam dunia akademik di Universiti Malaya (UM). Beliau rapat dengan Syed Husin Ali melalui Persatuan Sains Sosial, dan sekaligus hampir dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Dalam kumpulan ini juga ada KS Jomo. Husam Musa juga di UM dan rapat dengan kumpulan ini.
Kemalapan politik PAS berubah dengan perpecahan UMNO dan penubuhan Parti Semangat 46. Pilihan raya tahun 1990 meletakkan barisan pembangkang baru yang berdaya mampu untuk menubuhkan kerajaan. Tengku Razaleigh dipersetujui oleh pembangkang sebagai bakal perdana menteri mereka. Sabery Cheek menyertai Semangat 46. Jomo juga terlibat dalam menyediakan manifesto pembangkang berjudul Selamatkan Malaysia . Kandungannya tidak ubah seperti manifesto Barisan Rakyat dalam pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini.
Barisan pembangkang tahun 1990 yang terdiri daripada Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat sebenarnya merupakan prototaip kepada Barisan Alternatif dalam pilihan raya tahun 1999, 2004 dan 2008 ini.
Selepas pilihan raya tahun 1995, Angkatan Perpaduan Ummah dan Gagasan Rakyat hancur kerana Semangat 46 dibubarkan supaya ahli-ahlinya dapat menyertai UMNO baru. Kehadiran Tengku Razaleigh dalam UMNO dilihat oleh pemerhati sebagai ancaman kepada Anwar Ibrahim yang baru berjaya menyingkirkan Ghafar. Ketika itu Saifuddin sudah berada dalam kem Anwar.
Banyak pemerhati melihat bahawa kehadiran tengku Razaleigh dalam UMNOO ini tidak disenangi oleh Anwar dan ia dilakukan oleh Mahathir Mohamad semata-mata untuk mengimbangi pengaruh Anwar. Ia mendorong kepada tindakan Anwar untuk cepat bergerak bagi mendapatkan pucuk pimpinan UMNO.
Sejarah telah berpusing dengan pemainnya bertukar ganti. Kabinet Abdullah Ahmad Badawi yang terbaru terdiri daripada banyak bekas tokoh Semangat 46. Rais Yatim adalah bekas Timbalan Presiden Semangat 46. Shabery Cheek kini menjadi Menteri Penerangan. Tengku Razaleigh pula menyatakan hasrat untuk mencabar jawatan tertinggi UMNO. Baginya, hanya beliau yang layak untuk berdepan dengan Anwar yang sedsang berusaha untuk menjadi Perdana Menteri.
Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak seperti Semangat 46. Semangat 46 hanya dapat bertahan dua pilihan raya iaitu 1990 dan 1995. PKR semakin kuat dalam pilihan raya kali ketiga. PKR tidak semata-mata terdiri daripada bekas UMNO. Di dalamnya telah ada aktivis PRM.
Justeru, apapun yang terjadi kepada Anwar dan pengikutnya, PKR-PAS-DAP sudah menjadi gabungan Barisan Rakyat yang berstamina tinggi. PKR mewarisi PRM. Sementara ketiga-tiga parti ini PAS, DAP dan PRM sentiasa ada dalam pilihan raya tahun 1986, 1990, 1995, 1999 dan 2004. Kemenangan 2008 ini bukan semantara. Ia merupakan proses sejarah di mana akhirnya akan wujud sistem dua parti di negara ini.
Disedut dari :- http://www.detikdaily.net/
Thursday, March 27, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment