Sunday, May 4, 2008

Adun DAP Bachang dakwa ditendang polis

MELAKA, 4 Mei (Hrkh) - Ahli Dewan Undangan Negeri Bachang, Lim Jak Wong (DAP), mendakwa dikasari dan ditendang oleh Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, dikakinya sehingga terjatuh ketika ditahan di lokap Balai Polis Melaka Tengah pada 1 Mei lalu.

Sedangkan, tangan beliau ketika itu telah digari ke belakang menyebabkan dia jatuh terduduk di lantai dan tercedera, sebelum itu beliau yang dalam keadaan bergari telah ditolak ke palang besi lokap dengan kuat oleh OCPD Johari sambil mengatakan,"kamu ingat DAP sangat besar ke".

Sehubungan dengan itu, Lim telah membuat satu laporan polis sejurus selepas dibebaskan dengan jaminan polis sebanyak RM 2,000 mengenai insiden itu pada pukul 5.10 petang di balai polis yang sama supaya satu siasatan dapat dibuat ke atas keganasan yang didakwa dilakukan oleh OCPD itu.

Menurut Lim, beliau telah ditahan, digari dan diganasi oleh pihak polis tanpa dijelaskan mengenai kesalahan yang telah dilakukan dan kemudian memasukkannya ke dalam lokap serta mengarahkan beliau memakai baju lokap.

"Saya begitu kesal dengan tindakan yang dilakukan oleh pihak polis ke atas saya yang merupakan wakil rakyat bagi kawasan itu, kalau seorang wakil rakyat mereka boleh bertindak ganas macam-mana rakyat biasa boleh selamat dari keganasan mereka.

"Kita akan ambil tindakan dengan mengkaji dari sudut undang-undang, tengok macam-mana melalui peguam kita dan kemudian kita akan bawa perkara ini ke tengah," kata beliau.

Pada 1 Mei lalu seorang ahli Parlimen dan dua orang wakil rakyat DAP iaitu Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him; ADUN Bachang, Lim Jak Wong dan ADUN Kesidang, Goh Leong San ditahan polis ketika membuang skru bersama 30 orang penduduk di tapak projek menara pemancar komunikasi yang telah dibatalkan kerana membahayakan keselamatan orang-ramai.
BN ketika dalam kempen pilihan raya telah mengumumkan bahawa tiga projek menara pemancar iaitu 2 di Taman Kota Laksamana dan satu di Kampung Lapan telah dibatalkan berikutan bantahan daripada penduduk setempat dan kerajaan negeri telah bertindak mencabut kembali tiang pemancar itu.

Tetapi selepas pilihan raya kerajaan negeri memasang kembali dua menara pemancar di Taman Kota Laksamana pada sebelah malam dan ini menyebabkan penduduk Kampung Lapan membuat keputusan membuang skru di tapak projek tersebut kerana bimbang mereka juga akan ditipu.

- Harakahdaily..

p/s-wah, makin samseng polis sekarang ya..tendang dan pukul orang yang bayar cukai..

No comments: