Sunday, December 28, 2008

Salah siapa wujud blog hina Islam

Dalam 2 hari ini umat Islam, khususnya dari kalangan bloggers dan pengunjung internet dikejutkan dengan kemunculan seseorang yang menamakan dirinya sebagai Adibah Ahmad. Blogger yang menggunakan nama tersebut dengan begitu angkuh dan biadab menghina Nabi Muhammad saw dalam blognya dengan makian, sindiran dan kutukan yang sangat menyakitkan hati penganut Islam. Bukan sahaja foto yang kononnya ialah Nabi Muhammad yang dibanding dan dipadankan dengan gambar 2 ekor binatang yang haram di sisi Islam, tetapi terdapat karikatur Nabi dengan gambaran lucah yang memalukan.

Kebiadaban luar biasa blogger itu telah mengundang kemarahan ramai blogger Islam lain. Sebab itu ramai yang memberi komen dalam blog Adibah , kebanyakannya disampaikan secara yang amat kasar. Malah ada blogger yang dengan tegas menyatakan darah penulis biadab itu halal diambil! Apapun, blog yang baru mula beroperasi pertengahan bulan ini itu telah mencapai rekod kedatangan pengunjung yang agak hebat - lebih 3,000 pengunjung telah melawatnya. Secara tidak langsung penghinaan beliau terhadap Nabi telah membantu mempromosikan blog tersebut. Tanpa mempedulikan siapa identiti penulis blog itu, beliau pasti gembira menjadi antara blog yang paling popular dalam tempoh yang singkat hanya dengan mempermainkan sintimen orang Islam!

Pagi tadi (27 Disember 2008), blog Adibah masih beroperasi. Namun petang ini saya dapati blog biadab itu telah dipadamkan. Setakat ini tiada siapa tahu siapa sebenarnya yang menamakan dirinya sebagai Adibah itu, walaupun dalam blognya ada tertera gambar seorang wanita Melayu dengan nombor telefonnya untuk dihubungi. Adakah ia seorang wanita Islam, wanita bukan Islam, lelaki Islam atau lelaki bukan Islam tiada siapa yang tahu.

Dalam dunia siber ini siapa sahaja boleh membikin blognya sendiri dengan menggunakan apa nama sekalipun, sama ada Adibah, Syarifah, Fatimah, Rosmah, atau lain-lain nama, hatta nama binatang yang diharamkan Islam sekali pun boleh dipakai sebagai nick name. Cuma sekarang kita serahkan kepada Pihak Berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap penulis blog itu di bawah Akta Hasutan atau undang-undang lain yang bersesuaian.

Saya dalam hal ini lebih cenderung percaya penulis blog ini bukan Adibah Ahmad yang sebenar. Mana mungkin ada manusia yang memahami sensitiviti orang Islam berani mempromosi gambar dan nombor telefonnya sendiri yang mendedahkan dirinya kepada ancaman penganut Islam lain. Jika penulisnya adalah Adibah yang sebenar pastinya dia seorang yang bukan sahaja berani tetapi sangat bodoh!

Dan petang tadi apabila menatap berita Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Dalam Negeri dan polis mengambil tindakan segera terhadap penulis blog itu, saya berasa lega. Saya bertambah lega apabila mendapati blog tersebut telah dipadamkan oleh blogspot berkenaan. Namun dalam hati saya masih tertanya-tanya adakah ini kali terakhir agama Islam diperlekeh dan dihina oleh pihak-pihak yang anti-Islam di negara ini?

Sebelum ini pun begitu banyak kenyataan dan ucapan dari beberapa pihak termasuk pemimpin-pemimpin kita yang jelas menghina Islam. Mereka yang menghina Islam tidak perlu menyentuh Nabi, tidak perlu menyebut Allah, tidak perlu melukis karikatur untuk menunjukkan mereka anti-Islam dan menghina Islam. Cukup dengan memperlekeh mana-mana ajaran Islam, termasuk hukum hudud yang sedang hangat dibincangkan sekarang, ia sudah memadai untuk membuktikan seseorang itu sudah menghina Islam. Dan jika orang yang memperlekeh Islam termasuk hukum hudud itu adalah dari kalangan umat Islam, dia sebenarnya sedang menggali lubang yang boleh menyebabkan akidahnya sendiri tergelincir.

Sebagai contoh, cuba teliti ucapan pemimpin-pemimpin kita di bawah ini berkaitan hudud. Adakah anda tidak terfikir ia tidak boleh dikategorikan sebagai salah satu bentuk penghinaan terhadap Islam?

i) "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama'.(Dr. Mahathir b.Mohamed, 2.5.1992)

ii) 'Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 14.7.1992)

iii) 'Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan'.
( Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak : 20.4.1993)

iv) Saya akan memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh BN tidak akan melaksanakan hukum hudud'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 1994)

v) "Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum (hudud) yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?" (Dr Mahathir Mohamad, 3.3.1994)

vi) 'Hukum rejam kepada penzina adalah primitif'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 3.3.1994)

vii) "Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam". (Dr. Mahathir b. Mohamed : 4.8.1994)

viii) "Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar-kacir dan ditindas oleh orang lain tidak secocok dengan ajaran Islam"(Dato' Seri Mahathir Mohamad, 14.4.1994)

ix) Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain, akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat" (Dato Seri Dr Mahathir Muhamad, 5.9.1997)

7. 'Apa erti pembentukan negara Islam jika ia mundur'.
(Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi: 13.11.1999)

8. "Hal-hal mengenai keagamaan (Islam), harus dipisahkan dari Sekolah Kebangsaan bagi membolehkan ibu bapa bukan Islam menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (Bekas Presiden Gerakan, Lim Liong Sik, 2007)

Justru, salah siapa jika ada blog yang berani menghina Islam? Jika bapa yang beragama Islam pun berani kencing berdiri, apa nak dihairankn apabila anak-anak yang tidak faham Islam kencing berlari?

http://pendikargunung.blogspot.com

No comments: