Sunday, December 14, 2008

Lagi Caw. UMNO bertukar jadi Caw. PAS di KEDAH


YAN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak merasmikan penubuhan Pas Cawangan Kepala Bukit, Gurun Jerai, di sini, kelmarin.

Ketua Pas cawangan Kepala Bukit yang baru ditubuhkan tersebut diketuai oleh Lamin Awang.

Azizan dalam ucapannya menyuarakan rasa bangga kerana dalam masa umat Islam sibuk menyambut Hari Raya Korban, penduduk Kepala Bukit berjaya menubuhkan cawangan baru Pas kawasan tersebut.

“Kini cukup sembilan bulan kita (Pakatan Rakyat) memerintah sejak menang dalam pilihan raya umum awal tahun ini, oleh itu kita akan terus memerintah negeri ini supaya dapat membantu semua rakyat dan apa sahaja yang kita lakukan adalah demi pembangunan negeri ini serta tidak akan mengganggu rakyat.

“Kini Kedah mempunyai pelabur dari luar yang ramai, jumlah pelabur semakin meningkat terutamanya di Pulau Langkawi, ini menunjukkan pelabur luar yakin dengan kerajaan negeri ini,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Pas Cawangan Kepala Bukit, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Mohamad Ismail, wakil kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Shubihi Mohd Zain, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, ketua-ketua kampung serta masyarakat Kepala Bukit.

Azizan berkata, beliau akan memastikan tiadanya rasuah dan penyelewengan di negeri ini kerana tidak mahu rakyat ditindas.

“Rakyat di negeri ini bernasib baik kerana mempunyai banyak pekerjaan seperti kilang-kilang di Gurun dan sebagainya, tetapi kerajaan negeri sentiasa memikirkan supaya rakyat di negeri ini akan terus mempunyai pekerjaan supaya ingin mengelak berlakunya pengangguran yang merupakan salah satu penindasan terhadap rakyat.

“Antara perancangan kerajaan negeri untuk menanganinya adalah kita akan memilih rakyat di negeri ini untuk dihantar belajar ke Australia cara penapisan minyak.

“Apabila pulang ke tanah air maka mereka pula akan menurunkan ilmu tersebut kepada anak-anak tempatan di negeri ini supaya menjadi pakar dalam bidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata, selain itu kerajaan negeri sedang membangunkan daerah tersebut, antaranya pembinaan sebanyak 100 buah unit rumah sumbangan individu yang diberikan melalui kerajaan negeri kepada mangsa banjir beberapa tahun lalu.

“Selain itu Pulau Bunting juga akan dibangunkan untuk dijadikan pelabuhan yang menyediakan pengangkutan barang dan sebagainya.

Seluruh dunia akan datang ke Pulau tersebut, seperti dari China dan lain-lain negeri, kemudian kita akan bangunkan resort di sekitar Titi Hayun dengan keluasan kira-kira 18 ekar,” katanya.

Menurut Azizan, apabila pelayar singgah di pelabuhan tersebut, pastinya mereka ingin berehat dan tempat yang sesuai adalah di resort tersebut dan ini akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah.

“Kedah juga akan dijadikan “Raksasa Pertanian” di mana negeri ini merupakan salah sebuah negeri di mana rakyatnya pakar dalam bidang pertanian,” kata Azizan.

Katanya, pelbagai permasalahan rakyat juga difikirkan, seperti masalah banjir dan sebagainya.

“Rakyat t memberikan amanah kepada saya untuk memerintah negeri ini dan tanggungjawab tersebut akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Kerajaan negeri melantik Majlis Ketua Kampung (MKK) sebagai pemimpin di peringkat kampung, jadi segala permasalahan rakyat boleh bertemu dengan ketua kampung masing-masing, dan permasalahan tersebut akan dibawa ke peringkat atasan untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya.

No comments: