Saturday, September 27, 2008

Ulama saran zakat diguna kembali kaedah mazhab syafie

SIK, 26 Sept (Hrkh)- Pihak pemerintah disaran mengembalikan kaedah pembayaran zakat fitrah dengan menggunakan beras sebagaimana ajaran Mazhab Syafie yang menjadi pegangan di negara ini. Iklan

Demikian saranan yang dilontarkan Mudir Madrasah ar-Rahmaniah, Tuan Guru Salleh Musa semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Bantuan Makanan Dan Sumbangan Duit Raya Untuk Penduduk Miskin, Warga Emas Serta Ibu Tunggal Dan Pelajar Sempena Ramadan anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Sik, di sini 14 September lalu.

Katanya, kaedah pembayaran yang diamalkan kini iaitu menggunakan wang tidak sah dan tidak memadai.

Jelasnya, sebagaimana yang terdapat dalam kitab-kitab fekah Mazhab Syafie, zakat fitrah mestilah ditunaikan dengan memberi fakir miskin makanan yang mengenyangkan dan afdal pemberi sendiri memberi kepada penerima.

"Mesti bagi beras, beras itupun tidak boleh berubah, mesti bagi biji beras. Apatah lagi duit.

"Mengikut Mazhab Syafie, harga makanan tidak boleh, mesti beri makanan yang mengenyangkan ahli negeri. Macam di Makkah itu makan gandum, ikut makanan negara masing-masing yang mengenyangkan ahli negeri. Macam kita di sini beraslah makanan yang mengenyangkan," terang beliau ketika diminta mengulas lanjut perkara itu selepas majlis tersebut.

Tegasnya, pembayaran menggunakan harga beras yakni menggunakan wang tidak ada dalam Mazhab Syafie.

Tanpa menafikan kaedah itu terdapat dalam mazhab lain, beliau yang juga merupakan bekas Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah mempersoalkan tindakan beralih dan berpindah mazhab itu.

Oleh itu, beliau melahirkan harapan agar kaedah pembayaran mengikut Mazhab Syafie itu diamalkan semula setidak-tidaknya di negeri Kedah yang kini diterajui oleh PAS.

"Satu lagi zakat fitrah ini, ia masuk dalam zakat amwalul batinah. Zakat ini ada dua, satu amwalul zahirah, satu lagi amwalul batinah. Amwalul zahirah ini macam zakat padi, zakat perniagaan....itu bolehlah kerajaan nak ambil.

"Zakat amwalul batinah, afdal tuannya itu beri sendiri. Jadi kalau ikut pandangan mazhab kita tidak memadailah, tidak sah," ujarnya melanjutkan hujah.

Beliau turut menyeru agar setiap sumbangan atau zakat diberikan kepada fakir miskin dari kalangan ahli khair (ahli kebajikan).

"Fakir miskin ini banyak, bukan semua serupa. Kita kena cari ahli khair, bagi bantuan kepada mereka besar pahalanya.

"Kerana ada fakir miskin yang tidak bersolat, tidak menunaikan puasa malah ada yang terlibat dengan penagihan dadah, itu bukan ahli khair," terangnya.

Pun begitu jelas beliau, pemberian kepada fakir miskin bukan dari kalangan ahli khair tidaklah menjadi satu kesalahan.

"Bagi boleh tapi kurang afdallah, pahalanya tidak banyak mana. Jika beri pada fakir miskin ahli khair memang kenalah. Jadi fakir miskin ini pun kena pilih (untuk beri)," ujar beliau.

No comments: