Tuesday, August 5, 2008

Kesejahteraan keluarga adalah kekuatan negara


BANDAR BAHARU,5 Ogos (Hrkh) - Kesejahteraan keluarga adalah faktor utama yang menjamin kelangsungan masyarakat dan kerajaan serta kekuatan bagi sebuah negara. Demikian pertegasan Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak pada Majlis Perjumpaan Menteri Besar Kedah Bersama Pegawai-pegawai Kerajaan dan Orang Ramai Daerah Bandar Baharu di Dewan Sri Serdang di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelaksanaan Program Baiti Jannati di daerah itu.Terang beliau, Baiti Jannati bermaksud 'Rumahku, Syurgaku' di mana syurga rumah tangga itu ialah kewujudan sebuah rumah tangga yang penuh dengan kedamaian, kasih sayang dan kemesraan.

"Untuk itu, selain memberi perhatian pembangunan fizikal, kita juga akan memberi tumpuan membimbing rakyat untuk hidup bahagia dan sejahtera," ujarnya menyatakan komitmen Kerajaan Negeri.

Menurut Ustaz Azizan, tidak ada maknanya mempunyai pendapatan tinggi dan wang yang banyak tetapi tidak dapat hidup dalam keadaan stabil, tidak harmoni dan bahagia.Oleh itu katanya, pembangunan fizikal dan kesejahteraan rumah tangga perlulah seimbang agar segala gejala tidak sihat yang memeningkan banyak pihak dapat dihindari.

Mengulas mengenai permohonan perumahan yang tinggi bagi daerah itu, Ustaz Azizan menjelaskan bahawa Kerajaan Negeri menerima permintaan dari pelbagai pihak untuk membangunkan daerah itu.Ujarnya, Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) juga telah berhubung dengan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan projek perumahan.

"Kita perlu kaji dari pelbagai sudut. Kita tidak mahu bila kita membangunkan kawasan ini, penduduk kita terlepas ke tepi," jelasnya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri sememangnya telah meminta SPNB memberi tumpuan ke Daerah Kulim, Bandar Baharu, Sik dan Baling.Terang beliau, daerah-daerah itu memiliki banyak tanah untuk dibangunkan tanpa menjejaskan perancangan ekonomi pertanian rakyat.

"Rumah yang disediakan mungkin murah, tetapi infrastruktur dan persiapan prasarana yang perlu kita sediakan terlalu tinggi. Oleh itu kita masih berunding dengan pihak-pihak berkenaan," jelas beliau.

Hadir sama pada majlis berkenaan ialah Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, Ustaz Yaakub Hussin, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan / Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri), Dato' Bashiruddin Abdul Jamil, Ketua Polis Daerah Bandar Baharu, DSP Annuar Md Nor dan Pegawai Agama Daerah Bandar Baharu, Syeikh Radzi Abdul Mutalib. - mks.

No comments: