Sunday, December 28, 2008

KT: Peluang PAS dan calon bebas...


Dengan mengambil kira keputusan pilihanraya umum Mac lalu, PAS akan memastikan kehadiran calon-calon bebas tidak akan merosakkan sekali lagi peluangnya untuk memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya kecil 17 Januari ini.

Mac lalu, calon PAS, Mohamad Sabu kalah tipis di tangan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Razali Ismail bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Razali menewaskan Mohamad yang juga naib presiden PAS dengan 628 undi, sedangkan calon bebas, Maimun Yusuf mendapat 685 undi.

Kali ini, PAS akan memastikan kehadiran calon-calon bebas tidak akan merosakkan peluang parti itu untuk merampas kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Januari depan.

Tiga orang telah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding sebagai calon bebas.

Mereka ialah Maimun dan dua orang lagi, iaitu usahawan, Mohd Azlan Ismail dan Isma Airfath Hassanuddin dari Rantau Panjang, Kelantan.

Manakala parti serpihan PAS - Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) - telah menamakan bekas pemimpin PKR, Haron Abdul Rahman sebagai calonnya.

'Hilang deposit'

Parti itu nampaknya tidak kisah dengan kegagalan calonnya di Permatang Pauh sebelum ini untuk mendapat undi yang cukup bagi mendapat balik wang deposit.

Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali, ketika dihubungi, melihat pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu lebih menjurus kepada pertembungan PAS dan BN.

"Pertandingan utama masih antara BN dan PAS," katanya sambil menambah parti itu yakin menang walaupun BN telah menamakan Timbalan Menteri Dalam Negeri dan Ketua Umno Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai calonnya.

Katanya, kehadiran calon bebas dan calon Akim tidak akan menjejaskan peluang PAS untuk menang kali ini.

Mustafa yang lebih mesra dengan panggilan 'Cikgu Pa' dikatakan salah seorang daripada empat individu yang mungkin dipilih sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

Yang lainnya ialah Timbalannya, Datuk Wan Mutalib Embong; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi dan seorang ahli perniagaan, Dr Mohd Kazani Abdullah.

Syed Azman dikatakan sebagai calon pilihan dan pernah memenangi kerusi parlimen Kuala Terengganu dalam pilihanraya 1999. Beliau tewas kepada Razali dalam pilihanraya umum 2004.

Umat Islam dilarang sertai perayaan agama lain: Ulama


KUALA LUMPUR: Pembabitan umat Islam pada majlis tertentu yang ada kaitan dengan agama lain bukan saja boleh menimbulkan syak wasangka malah melambangkan rasa tidak hormat dan ketidakfahaman penganutnya terhadap ajaran Islam yang sebenar.

Mufti Perak, Datuk Seri Dr Harussani Zakaria, berkata perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia sudah jelas bertentangan dengan akidah dan haram hukumnya.

“Tiada sebarang fatwa perlu dikeluarkan kerana ia sudah jelas bercanggah dengan agama,” katanya ketika dihubungi Berita Minggu, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kekecewaan seorang pembaca melalui ruangan Surat & E-mel akhbar ini berhubung seorang gadis Islam bertudung menyertai koir sebuah perayaan agama.

“Umat Islam perlu mempunyai pegangan agama yang kuat dan tidak sewenang-wenang mengikuti persembahan yang tiada kaitan dengan agama kita.

“Lebih baik kita faham hukum dengan betul untuk mengelak salah faham. Cukuplah sekadar berziarah untuk mengeratkan hubungan dan mengelak jika ragu-ragu dengan perkara yang kita tidak pasti hukumnya,” katanya.

Pendakwah, Hassan Mahmud Al-Hafiz, berkata umat Islam sepatutnya peka dengan sebarang acara membabitkan agama lain yang ingin mereka sertai kerana ia akan menjejaskan akidah dan kepercayaan mereka terhadap agama.

“Mungkin sesetengah pihak menganggap pembabitan dalam persembahan agama lain adalah sekadar muzik atau nyanyian semata-mata tapi sebagai umat Islam yang prihatin kita perlu memastikan pengisiannya bimbang jika ia boleh menggugat akidah.

Sementara itu, Pensyarah muzik di Fakulti Seni dan Muzik, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga komposer, Azam Sulong (Azam Dungun), berkata tiada sekatan untuk menyertai mana-mana persembahan muzik di negara ini bagaimanapun sebagai umat Islam seseorang itu perlu bijak membezakan sama ada sesebuah persembahan itu bertentangan dengan akidah atau tidak.

“Pemuzik beragama Islam perlu prihatin terhadap persembahan yang mereka ikuti kerana ia sebenarnya boleh menjejaskan akidah jika ia mengandungi unsur agama atau pemujaan dalam lirik lagu.

“Mungkin jika hanya membabitkan pancaragam atau muzik ia masih boleh diterima tapi adalah lebih baik kita mengelak untuk menjaga sensitiviti budaya dan agama Islam kerana ia boleh menimbulkan kontroversi.

“Jadi pemuzik sepatutnya memahami pengisian lagu, lirik dan tujuan majlis supaya tidak berlaku pertikaian di kalangan orang ramai mengenai ketetapan akidah mereka,” katanya.

Presiden Yakin dapat undi

Datuk Seri Abdul Hadi Awang yakin pengundi Cina akan menyokong parti itu dalam pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan kerana mereka mendapat faedah sewaktu pentadbiran PAS selama empat tahun sebelum ini.

Katanya, ketika beliau menjadi menteri besar, kerajaan negeri telah menghapuskan cukai taksiran untuk pemilik hartanah.

Bagaimanapun, kata presiden PAS itu, apabila Umno kembali memerintah, cukai taksiran itu dikenakan semula.

Katanya, daripada maklumbalas yang diterima, pengundi Cina tidak suka dengan tindakan Umno itu dan berharap mereka akan mengundi PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

Beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan kempen "Jom sertai PAS" di Dataran Sah Aalam petang tadi.

Turut hadir ialah Exco Kerajaan Negeri, Dr Siti Mariah Mahmud dan Naib Presiden PAS, Ahmad Awang.

Menurut Hadi lagi, pengasas Umno, Onn Jaafar telah bertanding di Kuala Terengganu selepas meninggal parti tersebut.

Katanya, beliau menang apabila pengundi di Kuala Terengganu telah memilihnya untuk mewakili mereka di Parlimen.

Ditanya mengenai perubahan yang mahu dibawa PAS untuk penduduk Kuala Terengganu jika menang dalam pilihanraya kecil tersebut, Hadi mengakui bahawa sumber-sumber parti itu adalah terhad kerana ia tidak lagi mentadbir Terengganu.

"Tetapi kita berharap pengundi akan menghantar satu isyarat yang jelas - bahawa mereka menolak Barisan Nasional dan Umno," katanya.

Salah siapa wujud blog hina Islam

Dalam 2 hari ini umat Islam, khususnya dari kalangan bloggers dan pengunjung internet dikejutkan dengan kemunculan seseorang yang menamakan dirinya sebagai Adibah Ahmad. Blogger yang menggunakan nama tersebut dengan begitu angkuh dan biadab menghina Nabi Muhammad saw dalam blognya dengan makian, sindiran dan kutukan yang sangat menyakitkan hati penganut Islam. Bukan sahaja foto yang kononnya ialah Nabi Muhammad yang dibanding dan dipadankan dengan gambar 2 ekor binatang yang haram di sisi Islam, tetapi terdapat karikatur Nabi dengan gambaran lucah yang memalukan.

Kebiadaban luar biasa blogger itu telah mengundang kemarahan ramai blogger Islam lain. Sebab itu ramai yang memberi komen dalam blog Adibah , kebanyakannya disampaikan secara yang amat kasar. Malah ada blogger yang dengan tegas menyatakan darah penulis biadab itu halal diambil! Apapun, blog yang baru mula beroperasi pertengahan bulan ini itu telah mencapai rekod kedatangan pengunjung yang agak hebat - lebih 3,000 pengunjung telah melawatnya. Secara tidak langsung penghinaan beliau terhadap Nabi telah membantu mempromosikan blog tersebut. Tanpa mempedulikan siapa identiti penulis blog itu, beliau pasti gembira menjadi antara blog yang paling popular dalam tempoh yang singkat hanya dengan mempermainkan sintimen orang Islam!

Pagi tadi (27 Disember 2008), blog Adibah masih beroperasi. Namun petang ini saya dapati blog biadab itu telah dipadamkan. Setakat ini tiada siapa tahu siapa sebenarnya yang menamakan dirinya sebagai Adibah itu, walaupun dalam blognya ada tertera gambar seorang wanita Melayu dengan nombor telefonnya untuk dihubungi. Adakah ia seorang wanita Islam, wanita bukan Islam, lelaki Islam atau lelaki bukan Islam tiada siapa yang tahu.

Dalam dunia siber ini siapa sahaja boleh membikin blognya sendiri dengan menggunakan apa nama sekalipun, sama ada Adibah, Syarifah, Fatimah, Rosmah, atau lain-lain nama, hatta nama binatang yang diharamkan Islam sekali pun boleh dipakai sebagai nick name. Cuma sekarang kita serahkan kepada Pihak Berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap penulis blog itu di bawah Akta Hasutan atau undang-undang lain yang bersesuaian.

Saya dalam hal ini lebih cenderung percaya penulis blog ini bukan Adibah Ahmad yang sebenar. Mana mungkin ada manusia yang memahami sensitiviti orang Islam berani mempromosi gambar dan nombor telefonnya sendiri yang mendedahkan dirinya kepada ancaman penganut Islam lain. Jika penulisnya adalah Adibah yang sebenar pastinya dia seorang yang bukan sahaja berani tetapi sangat bodoh!

Dan petang tadi apabila menatap berita Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta Kementerian Dalam Negeri dan polis mengambil tindakan segera terhadap penulis blog itu, saya berasa lega. Saya bertambah lega apabila mendapati blog tersebut telah dipadamkan oleh blogspot berkenaan. Namun dalam hati saya masih tertanya-tanya adakah ini kali terakhir agama Islam diperlekeh dan dihina oleh pihak-pihak yang anti-Islam di negara ini?

Sebelum ini pun begitu banyak kenyataan dan ucapan dari beberapa pihak termasuk pemimpin-pemimpin kita yang jelas menghina Islam. Mereka yang menghina Islam tidak perlu menyentuh Nabi, tidak perlu menyebut Allah, tidak perlu melukis karikatur untuk menunjukkan mereka anti-Islam dan menghina Islam. Cukup dengan memperlekeh mana-mana ajaran Islam, termasuk hukum hudud yang sedang hangat dibincangkan sekarang, ia sudah memadai untuk membuktikan seseorang itu sudah menghina Islam. Dan jika orang yang memperlekeh Islam termasuk hukum hudud itu adalah dari kalangan umat Islam, dia sebenarnya sedang menggali lubang yang boleh menyebabkan akidahnya sendiri tergelincir.

Sebagai contoh, cuba teliti ucapan pemimpin-pemimpin kita di bawah ini berkaitan hudud. Adakah anda tidak terfikir ia tidak boleh dikategorikan sebagai salah satu bentuk penghinaan terhadap Islam?

i) "Bagaimana kita boleh maju kalau orang Islam sudah tiada tangan dan kaki. Bagaimana mereka mahu bersaing dengan bangsa-bangsa lain kalau sifatnya sudah tidak cukup. Hukum Hudud tidak sesuai dilaksanakan di negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum dan agama'.(Dr. Mahathir b.Mohamed, 2.5.1992)

ii) 'Apabila hukum rejam batu sampai mati kepada penzina dan potong tangan kepada pencuri, nescaya ramailah rakyat Islam yang mati dan kudung tangan. Ini sangat memalukan umat Islam kerana orang bukan Islam akan sempurna sifatnya dan boleh meneruskan kerja'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 14.7.1992)

iii) 'Negara akan huru-hara sekiranya undang-undang Islam dilaksanakan'.
( Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak : 20.4.1993)

iv) Saya akan memastikan bahawa negeri-negeri yang diperintah oleh BN tidak akan melaksanakan hukum hudud'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 1994)

v) "Apakah dalam keadaan Islam sudah lemah, hukum (hudud) yang boleh melemahkan lagi orang Islam mesti dilaksanakan?" (Dr Mahathir Mohamad, 3.3.1994)

vi) 'Hukum rejam kepada penzina adalah primitif'. (Dr. Mahathir b.Mohamed, 3.3.1994)

vii) "Sukar dilaksanakan hukum syarak kerana masyarakat Malaysia bukan seratus peratus Islam". (Dr. Mahathir b. Mohamed : 4.8.1994)

viii) "Melaksanakan hukum hudud sehingga melemahkan orang Islam sehingga menjadi masyarakat kucar-kacir dan ditindas oleh orang lain tidak secocok dengan ajaran Islam"(Dato' Seri Mahathir Mohamad, 14.4.1994)

ix) Tujuan menutup aurat ialah kerana di zaman Nabi, Arab jahiliyyah mempunyai nafsu yang kuat sehingga sering menculik dan merogol wanita daripada kabilah-kabilah lain, akibatnya ialah peperangan antara mereka yang tidak pernah tamat" (Dato Seri Dr Mahathir Muhamad, 5.9.1997)

7. 'Apa erti pembentukan negara Islam jika ia mundur'.
(Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi: 13.11.1999)

8. "Hal-hal mengenai keagamaan (Islam), harus dipisahkan dari Sekolah Kebangsaan bagi membolehkan ibu bapa bukan Islam menghantar anak-anak mereka ke Sekolah Kebangsaan (Bekas Presiden Gerakan, Lim Liong Sik, 2007)

Justru, salah siapa jika ada blog yang berani menghina Islam? Jika bapa yang beragama Islam pun berani kencing berdiri, apa nak dihairankn apabila anak-anak yang tidak faham Islam kencing berlari?

http://pendikargunung.blogspot.com

Sunday, December 14, 2008

Lagi Caw. UMNO bertukar jadi Caw. PAS di KEDAH


YAN - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ustaz Azizan Abdul Razak merasmikan penubuhan Pas Cawangan Kepala Bukit, Gurun Jerai, di sini, kelmarin.

Ketua Pas cawangan Kepala Bukit yang baru ditubuhkan tersebut diketuai oleh Lamin Awang.

Azizan dalam ucapannya menyuarakan rasa bangga kerana dalam masa umat Islam sibuk menyambut Hari Raya Korban, penduduk Kepala Bukit berjaya menubuhkan cawangan baru Pas kawasan tersebut.

“Kini cukup sembilan bulan kita (Pakatan Rakyat) memerintah sejak menang dalam pilihan raya umum awal tahun ini, oleh itu kita akan terus memerintah negeri ini supaya dapat membantu semua rakyat dan apa sahaja yang kita lakukan adalah demi pembangunan negeri ini serta tidak akan mengganggu rakyat.

“Kini Kedah mempunyai pelabur dari luar yang ramai, jumlah pelabur semakin meningkat terutamanya di Pulau Langkawi, ini menunjukkan pelabur luar yakin dengan kerajaan negeri ini,” katanya ketika berucap ketika merasmikan Pas Cawangan Kepala Bukit, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Ketua Pemuda Pas Kawasan Jerai, Mohamad Ismail, wakil kepada Ahli Parlimen Jerai, Mohd Shubihi Mohd Zain, Pegawai Khas (Kawasan) kepada Menteri Besar Kedah, Muzaini Azizan, ketua-ketua kampung serta masyarakat Kepala Bukit.

Azizan berkata, beliau akan memastikan tiadanya rasuah dan penyelewengan di negeri ini kerana tidak mahu rakyat ditindas.

“Rakyat di negeri ini bernasib baik kerana mempunyai banyak pekerjaan seperti kilang-kilang di Gurun dan sebagainya, tetapi kerajaan negeri sentiasa memikirkan supaya rakyat di negeri ini akan terus mempunyai pekerjaan supaya ingin mengelak berlakunya pengangguran yang merupakan salah satu penindasan terhadap rakyat.

“Antara perancangan kerajaan negeri untuk menanganinya adalah kita akan memilih rakyat di negeri ini untuk dihantar belajar ke Australia cara penapisan minyak.

“Apabila pulang ke tanah air maka mereka pula akan menurunkan ilmu tersebut kepada anak-anak tempatan di negeri ini supaya menjadi pakar dalam bidang tersebut,” katanya.

Beliau berkata, selain itu kerajaan negeri sedang membangunkan daerah tersebut, antaranya pembinaan sebanyak 100 buah unit rumah sumbangan individu yang diberikan melalui kerajaan negeri kepada mangsa banjir beberapa tahun lalu.

“Selain itu Pulau Bunting juga akan dibangunkan untuk dijadikan pelabuhan yang menyediakan pengangkutan barang dan sebagainya.

Seluruh dunia akan datang ke Pulau tersebut, seperti dari China dan lain-lain negeri, kemudian kita akan bangunkan resort di sekitar Titi Hayun dengan keluasan kira-kira 18 ekar,” katanya.

Menurut Azizan, apabila pelayar singgah di pelabuhan tersebut, pastinya mereka ingin berehat dan tempat yang sesuai adalah di resort tersebut dan ini akan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat Kedah.

“Kedah juga akan dijadikan “Raksasa Pertanian” di mana negeri ini merupakan salah sebuah negeri di mana rakyatnya pakar dalam bidang pertanian,” kata Azizan.

Katanya, pelbagai permasalahan rakyat juga difikirkan, seperti masalah banjir dan sebagainya.

“Rakyat t memberikan amanah kepada saya untuk memerintah negeri ini dan tanggungjawab tersebut akan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.

“Kerajaan negeri melantik Majlis Ketua Kampung (MKK) sebagai pemimpin di peringkat kampung, jadi segala permasalahan rakyat boleh bertemu dengan ketua kampung masing-masing, dan permasalahan tersebut akan dibawa ke peringkat atasan untuk diambil tindakan selanjutnya,” katanya.

Jabatan KEsihatan negeri sahkan 27 penghidap Chikungunya di Kedah

SUNGAI PETANI 14 Dis. — Seramai 27 orang penduduk Kampung Sungkap Para, Sungai Lalang di sini dimasukkan ke wad Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini kerana menghidap demam`Chikungunya’.

Timbalan Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Kedah Dr Shahidan Hashim berkata keadaan mereka semua dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di hospital berkenaan sejak dimasukkan dua hari lepas.

Katanya kampung tersebut merupakan kampung pertama di negeri ini berlaku kes Chikungunya.

“Setakat pagi ini, 27 kes sudah disahkan dengan penyakit ini di Kedah, dan langkah pengawalan sedang giat dilakukan bagi mengelak merebak ke kawasalan lain yang lebih luas,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Gotong Royong anjuran Jabatan Kesihatan Sungai Petani dan penduduk kampung berkenaan, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan jumlah pesakit akan bertambah sekiranya, langkah pengawalan tidak dilakukan secepat mungkin.

“Saya meminta penduduk kampung yang mengalami simptom penyakit itu membuat pemeriksaan di pusat pemeriksaan bagi mengelak keadaan lebih buruk berlaku, serta membersihkan persekitaran rumah teruatama tempat pembiakan nyamuk,” katanya.

Shahidan berkata salah satu cara untuk mengekang wabak daripada merebak ialah mengenalpasti tempat pembiakan nyamuk kemudian terus memusnahkannya tanpa berlengah teruatama pada peringkat awal pembesaran.

“Nyamuk boleh dimusnahkan pada peringkat awal, tetapi jika dibiarkan hingga ke peringkat matang ia akan terbang dan menggigit penduduk seterusnya terbang ke kawasan lain dan berlaku penularan penyakit ini dengan cepat,” katanya.

Walaupun penyakit bawaan nyamuk ini tidak seserius demam denggi oleh nyamuk aedes, katanya namun mereka yang dijangkiti akan menderita sakit sendi dan demam berpanjangan hingga menjejaskan pekerjaan dan pendapatan isi rumah sesebuah keluarga.

— BERNAMA