Saturday, September 27, 2008

Ulama saran zakat diguna kembali kaedah mazhab syafie

SIK, 26 Sept (Hrkh)- Pihak pemerintah disaran mengembalikan kaedah pembayaran zakat fitrah dengan menggunakan beras sebagaimana ajaran Mazhab Syafie yang menjadi pegangan di negara ini. Iklan

Demikian saranan yang dilontarkan Mudir Madrasah ar-Rahmaniah, Tuan Guru Salleh Musa semasa menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Bantuan Makanan Dan Sumbangan Duit Raya Untuk Penduduk Miskin, Warga Emas Serta Ibu Tunggal Dan Pelajar Sempena Ramadan anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Parlimen Sik, di sini 14 September lalu.

Katanya, kaedah pembayaran yang diamalkan kini iaitu menggunakan wang tidak sah dan tidak memadai.

Jelasnya, sebagaimana yang terdapat dalam kitab-kitab fekah Mazhab Syafie, zakat fitrah mestilah ditunaikan dengan memberi fakir miskin makanan yang mengenyangkan dan afdal pemberi sendiri memberi kepada penerima.

"Mesti bagi beras, beras itupun tidak boleh berubah, mesti bagi biji beras. Apatah lagi duit.

"Mengikut Mazhab Syafie, harga makanan tidak boleh, mesti beri makanan yang mengenyangkan ahli negeri. Macam di Makkah itu makan gandum, ikut makanan negara masing-masing yang mengenyangkan ahli negeri. Macam kita di sini beraslah makanan yang mengenyangkan," terang beliau ketika diminta mengulas lanjut perkara itu selepas majlis tersebut.

Tegasnya, pembayaran menggunakan harga beras yakni menggunakan wang tidak ada dalam Mazhab Syafie.

Tanpa menafikan kaedah itu terdapat dalam mazhab lain, beliau yang juga merupakan bekas Ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah mempersoalkan tindakan beralih dan berpindah mazhab itu.

Oleh itu, beliau melahirkan harapan agar kaedah pembayaran mengikut Mazhab Syafie itu diamalkan semula setidak-tidaknya di negeri Kedah yang kini diterajui oleh PAS.

"Satu lagi zakat fitrah ini, ia masuk dalam zakat amwalul batinah. Zakat ini ada dua, satu amwalul zahirah, satu lagi amwalul batinah. Amwalul zahirah ini macam zakat padi, zakat perniagaan....itu bolehlah kerajaan nak ambil.

"Zakat amwalul batinah, afdal tuannya itu beri sendiri. Jadi kalau ikut pandangan mazhab kita tidak memadailah, tidak sah," ujarnya melanjutkan hujah.

Beliau turut menyeru agar setiap sumbangan atau zakat diberikan kepada fakir miskin dari kalangan ahli khair (ahli kebajikan).

"Fakir miskin ini banyak, bukan semua serupa. Kita kena cari ahli khair, bagi bantuan kepada mereka besar pahalanya.

"Kerana ada fakir miskin yang tidak bersolat, tidak menunaikan puasa malah ada yang terlibat dengan penagihan dadah, itu bukan ahli khair," terangnya.

Pun begitu jelas beliau, pemberian kepada fakir miskin bukan dari kalangan ahli khair tidaklah menjadi satu kesalahan.

"Bagi boleh tapi kurang afdallah, pahalanya tidak banyak mana. Jika beri pada fakir miskin ahli khair memang kenalah. Jadi fakir miskin ini pun kena pilih (untuk beri)," ujar beliau.

Monday, September 22, 2008

Sekitar Angkat Sumpah Anwar Ibrahim






Anwar menang majoriti undi 15,671

BUKIT MERTAJAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) memenangi pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh apabila calonnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan majoriti undi 15,671 mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Arif Shah Omar Shah dan Hanafi Mamat daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim).

Anwar memperoleh 31,195 undi, Arif Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seberang Jaya dengan 15,524 undi, manakala Hanafi yang juga Presiden Akim hanya memperoleh 92 undi, sekali gus hilang wang pertaruhan.

Keputusan diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Roslan Yahaya di pusat penjumlahan undi di Dewan Aminuddin Baki, Institut Perguruan Tuanku Bainun, Mengkuang, pada jam 10.12 malam.

Sebaik keputusan diumumkan, ia disusuli dengan sorakan kira-kira 500 penyokong PKR di dalam dewan manakala kira-kira 20,000 di padang berhampiran yang berkumpul sejak jam 5 petang.

Sebanyak 65 peratus daripada 58,459 pengundi berdaftar, termasuk pengundi pos menunaikan tanggungjawab dengan mengundi di 25 pusat mengundi yang dibuka mulai jam 8 pagi hingga 5 petang.

Bagaimanapun, keadaan cuaca yang hujan pada tengah hari merencatkan pengundi keluar mengundi apabila kebanyakan jalan utama ke semua 25 pusat mengundi, dilaporkan sesak teruk.

Beberapa insiden membabitkan kekecohan penyokong pembangkang juga dilaporkan berlaku, termasuk kereta yang dinaiki Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibaling dengan botol ketika meninjau pusat mengundi, pada sebelah tengah hari.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen yang diwakilinya sejak 1999 bagi memberi laluan kepada suaminya, Anwar bertanding semula di kerusi yang disandang sejak 1982.

Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Wan Azizah menang buat kali kedua berturut-turut menewaskan calon BN, Datuk Pirdaus Ismail dengan majoriti 13,888.

Wan Azizah memperoleh 30,338 undi, manakala Pirdaus mendapat 16,950 undi. Peratusan mengundi bagi kawasan Parlimen itu pada pilihan raya lalu ialah 81.87 peratus.

Pada pilihan raya umum 2004 pula, BN kalah dengan majoriti 590 undi.

Tiga DUN dalam Parlimen terbabit adalah Seberang Jaya yang diwakili Arif Shah sebagai Adun dan mempunyai sembilan daerah mengundi, sembilan di kawasan DUN Permatang Pasir dan 10 di DUN Penanti.

Sementara itu, Arif Shah ketika ditemui pemberita berkata, beliau akan tetap berkhidmat kepada pengundi di Permatang Pauh meskipun keputusan pilihan raya kecil tidak memihak kepadanya.

Beliau berkata, pendiriannya tetap sama iaitu membela nasib rakyat berbilang kaum di kawasan parlimen itu.